1,320 individu berjaya dapat kerja di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia | DagangNews Skip to main content

1,320 individu berjaya dapat kerja di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia

Suasana Karnival Kerjaya Jamin Kerja sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. - Gambar BERNAMA

KOTA BHARU 24 Julai - Seramai 1,320 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan menerusi Karnival Kerjaya Jamin Kerja sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan yang diadakan bermula Jumaat lepas hingga hari ini. 

 

Ketua Negeri Unit Perkhidmatan Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan, Muhammad Syahir Ammar Mohamed berkata, kesemua mereka yang berjaya ini akan dipanggil oleh majikan masing-masing bagi mula bekerja dalam tempoh terdekat.

 

"Lima syarikat yang paling ramai mengambil pekerja adalah Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Perhentian Island Resort, 7-Eleven Malaysia Sdn.Bhd, FELCRA Berhad dan Akademi Memandu Nasrom Sdn.Bhd.

 

"Selain itu, sektor automotif merupakan yang paling banyak menawarkan peluang pekerjaan," katanya ketika ditemui Bernama di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.

 

Mengulas lanjut, Muhammad Syahir Ammar berkata, sepanjang tiga hari karnival itu berlangsung seramai 2,242 pencari kerja hadir untuk temu duga bersama 28 majikan.

 

Sementara itu, seorang calon yang berjaya mendapat pekerjaan Muhamad Najmuddin Mohd Mad, 18, dari Kampung Khatib Ali, di sini melahirkan rasa gembira dan teruja kerana akan melaporkan diri dengan majikannya itu pada 1 Ogos ini.

 

"Ini kali pertama saya menyertai karnival kerjaya dan saya rasa macam tidak percaya apabila diterima bekerja dengan syarikat yang saya pilih," katanya.

 

Wan Nurul Farhanah Wan Idris, 26, pula berkata, peluang yang diberikan oleh majikan baharunya itu akan digunakan sebaik mungkin dengan bekerja penuh amanah dan jujur.

 

"Saya harap program  sebegini dapat diteruskan  oleh agensi berkaitan bagi memberi peluang kepada mereka yang masih belum mendapat pekerjaan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran terutama dalam kalangan lepasan universiti," katanya yang menetap di Pantai Cahaya Bulan, di sini. - DagangNews.com