50,000 tapak rumah, bantuan perkahwinan antara terkandung dalam manifesto PN Perak  | DagangNews Skip to main content

50,000 tapak rumah, bantuan perkahwinan antara terkandung dalam manifesto PN Perak 

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Oleh ZAKI SALLEH 

IPOH 17 Nov - Sebanyak 50,000 tapak rumah ditawarkan kepada rakyat Perak yang belum memiliki kediaman sekiranya Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

 

Perkara itu antara terkandung di dalam Manifesto PN Perak yang dilancarkan hari ini bertemakan 'PN Baik Perbaiki Negeri Bersama Agenda Inisiatif Kemakmuran'.

 

Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, manifesto itu bersandarkan lima teras utama dengan fokus terarah kepada pendidikan, sosial, wanita, infrastruktur dan kelestarian alam sekitar.

 

Menurutnya, tawaran memiliki tapak kediaman itu juga kepada penduduk setinggan selain golongan yang tidak mempunyai tanah untuk membina rumah.

 

"Keluarga yang belum memiliki rumah berpeluang memohon. Kita akan mempermudahkan usaha rakyat untuk mempunyai kediaman.

 

"Bagaimana pun perkara ini akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat," katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Manifesto PN Perak di sini hari ini.

 

Jelas Ahmad Faizal, pihaknya tidak menjanjikan bulan dan bintang seperti sesetengah pihak, namun manifesto yang menawarkan 20 inisiatif itu diharap dapat memenuhi kehendak dan tuntutan rakyat.

 

Antaranya baucar pembelian gadget termasuk komputer riba dan tablet sehingga RM1,000 dan baucar pembelian buku.

 

Nilai kad Kasih Ibu Darul Ridzuan juga dinaikkan kepada RM400 sebulan berbanding RM290 sejajar dengan kenaikan kos sara hidup.

 

Turut terkandung dalam manifesto itu ialah bantuan perkahwinan dalam usaha memudahkan pasangan untuk melangsungkan perkahwinan. - DagangNews.com