KUALA LUMPUR 2 Sept - Sebanyak 660 unit di Blok C, 168 Park Selayang yang terdiri daripada unit komersial dan designer suite, kini siap sepenuhnya dan sedia untuk diduduki.
168 Park Selayang Sdn Bhd telah ditubuhkan oleh pengasas Infra Segi Sdn Bhd pada tahun 2021, selepas syarikat itu dilantik oleh Mahkamah Tinggi untuk memulihkan projek Selayang Star City yang telah terbengkalai sejak 2016.
Di bawah perintah pengurusan kehakiman (JMO), Blok C 168 Park Selayang merangkumi unit-unit yang dikhususkan untuk semua pembeli yang terjejas daripada projek Selayang Star City yang terbengkalai.
Pengarah Pembangunan Perniagaan 168 Park Selayang Sdn Bhd, Lorenz Tong berkata ia adalah amalan biasa apabila sesuatu projek pembangunan itu dibangunkan semula, pembeli akan diminta untuk menambah nilai harga pembelian asal, apabila sudah melewati beberapa tempoh tertentu.
"Walau bagaimanapun, kami memutuskan untuk tidak meletakkan beban ini kepada pemilik unit yang terjejas,” ujar Tong.
Beliau turut menjelaskan bahawa di bawah JMO, unit-unit yang terjejas itu hanya perlu dibina mengikut spesifikasi dalam perjanjian jual beli (S&P) asal.
Menurut beliau, 168 Park Selayang membuat keputusan untuk menunjukkan keikhlasan dan mutu kerja mereka sebagai pemaju baharu dengan melaksanakan beberapa naik taraf kepada unit-unit yang terjejas.
Mengulas mengenai naik taraf tersebut, Tong turut berkata, beberapa ciri kemudahan telah dinaik taraf daripada 12 kepada 26 ciri termasuk lobi lif untuk Blok C serta blok konkrit licin yang kini dinaik taraf kepada jubin semburan untuk penampilan yang lebih moden.
Pembangunan asal Selayang Star City, terletak di atas tanah seluas tujuh ekar, terdiri daripada tiga blok kediaman dengan 2,269 designer suites dan satu blok yang beroperasi sebagai hotel dengan 305 suite perkhidmatan.
168 Park Selayang yang dibina semula itu mempunyai nilai pembangunan kasar RM945 juta dan terdiri daripada tiga menara kediaman, kawasan kemudahan seluas empat ekar di aras Sembilan dan sebuah pusat beli-belah komuniti dua tingkat dengan jumlah keluasan boleh disewakan seluas 235,500 kaki persegi.
Di samping itu, Lush Residence atau Blok A yang dijangka siap menjelang suku ketiga 2025, mempunyai 477 unit kediaman dengan keluasan antara 560 kaki persegi hingga 1,050 kaki persegi dengan harga bermula dari RM294,000.
Bole Residence atau Blok B, yang dijangka siap serta diserahkan pada suku kedua 2026 merupakan menara setinggi 49 tingkat yang terdiri daripada 956 unit kediaman dengan keluasan antara 674 kaki persegi hingga 1,074 kaki persegi dengan harga bermula dari RM397,000.- DagangNews.com