Aeon buka cawangan pasar raya ke-35 di Setia Alam | DagangNews Skip to main content

Aeon buka cawangan pasar raya ke-35 di Setia Alam

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Mac - Aeon Co (M) Bhd memulakan sambutan ulang tahun ke-40 dengan pembukaan rasmi cawangan ke-35.

 

Menurut Aeon, ia yang dikenali sebagai Aeon Setia Alam itu merupakan satu lagi titik penting setelah kejayaan membuka cawangan Putrajaya setahun yang lalu.

 

Katanya, terletak di Setia Alam Mall, AEON Setia Alam berkeluasan 148,243 kaki persegi merangkumi tiga tingkat, menawarkan lokasi membeli-belah yang selesa untuk pengunjungnya. 

 

Pengarah Urusan AEON, Naoya Okada berkata, pasar raya itu direka sebagai destinasi serba lengkap memenuhi pelbagai keperluan pelanggan.

 

"Beroperasi setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam, pasar raya ini mampu menyediakan pengalaman membeli-belah yang istimewa," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut Okada, pihaknya yakin dengan pembukaan cawangan baharu itu menambah nilai kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara serta menyumbang kepada perkembangan positif dalam sektor peruncitan. 

 

Dengan penambahan Aeon Setia Alam, Aeon kini beroperasi dengan 35 Aeon Stores, di samping 28 Aeon Malls, 3 MaxValu, 4 MaxValu Prime Supermarkets, 65 Aeon Wellness dan 45 Daiso di seluruh negara.

 

 

aeon

 

 

Menurut kenyataan itu, seperti pasar raya Aeon yang lain, Aeon Setia Alam juga menjual produk Top Valu yang memberikan pelanggan pelbagai produk berkualiti tinggi seperti barang runcit, keperluan isi rumah dan barangan harian. 

 

Terdapat juga jenama Home Coordy yang menampilkan pelbagai hiasan rumah dan perabot, katanya.

 

Katanya, Aeon Setia Alam menyajikan pelanggan dengan barang-barang runcit segar dan pilihan hidangan lazat, termasuk bento, sushi dan pelbagai pilihan manisan. 

 

"Coco Café menawarkan hidangan segar yang panas, manakala La Boheme menampilkan roti segar dan pelbagai jenis bakeri," katanya. - DagangNews.com