KUALA LUMPUR 13 Ogos - Agrobank akan membuka semula cawangannya di Spaoh, Sarawak sebagai sebahagian komitmen bank itu untuk meningkatkan perkhidmatan perbankan di kawasan luar bandar.
Menurut Agrobank, penutupan cawangan itu sebelum ini adalah satu keperluan untuk memberi laluan kepada pengubahsuaian pejabat daerah yang lama kepada Agensi Pembangunan Betong.
"Selaras dengan hal ini, Agrobank telah mengenal pasti lokasi yang sesuai dan sedang berusaha untuk membuka cawangan Spaoh di kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Spaoh merupakan sebuah daerah kecil yang terletak di dalam bahagian Betong.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pembukaan semula cawangan Spaoh akan memberikan akses perkhidmatan perbankan kepada kepada komuniti luar bandar di Sarawak.
"Servis perbankan memainkan peranan yang penting kepada pertumbuhan ekonomi dan keterangkuman kewangan di kawasan-kawasan tersebut," ujarnya.
Selain itu, sempena program “Road to MAHA 2024 @ Sarawak” yang diadakan baru-baru ini di Miri pada 8 hingga 11 Ogos 2024, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengamanahkan Agrobank untuk menguruskan sebanyak RM6.23 juta peruntukan dana melalui pelbagai program.
Kata Agrobank, dana peruntukan yang disalurkan kepada Agrobank akan diagihkan melalui pelbagai inisiatif termasuk Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM), Dana Pembiayaan Agromakanan (DPA) dan Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan (PMRNA).
Ahmad Badli Shah berkata, setakat Julai 2024, Agrobank telah meluluskan dana pembiayaan sebanyak RM95.4 juta di bawah Skim Kredit Mikro Sarawak yang memberikan manfaat kepada 2,758 orang peserta.
"Skim ini dan rancangan pembukaan cawangan di Spaoh menunjukkan usaha pendekatan kami untuk menyokong pembangunan negeri Sarawak,"ulas beliau.- DagangNews.com