Ahmad Zahid tolak dakwaan minta calon UMNO sokong beliau sebagai PM | DagangNews Skip to main content

Ahmad Zahid tolak dakwaan minta calon UMNO sokong beliau sebagai PM

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi - Gambar Facebook Barisan Nasional

KUALA LUMPUR 1 Nov - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan meminta calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang menandatangani surat menyokong beliau sebagai Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya pada 19 November 2022.

 

"Ia satu pembohongan," katanya kepada The Malay Mail apabila ditanya mengenai dakwaan sedemikian.

 

Memetik sumber dalaman parti, The Vibes telah melaporkan semalam bahawa Zahid memberikan surat watikah (surat pelantikan) kepada calon UMNO untuk bertanding PRU15 dengan syarat mereka menandatangani "ikrar taat setia kepada presiden".

 

Sumber itu berkata, ikrar ini adalah untuk memberi Zahid yang juga Pengerusi BN mandat membentuk kerajaan jika parti tersebut menang PRU15.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dinamakan sebagai calon Perdana Menteri BN sekiranya gabungan itu memenangi PRU15, lapor Free Malaysia Today.

 

Zahid telah menyatakan pada 16 Oktober 2022 bahawa keputusan untuk mencalonkan Naib Presiden UMNO bagi jawatan itu adalah muktamad. - DagangNews.com