KUALA LUMPUR 13 Ogos - AirAsia mengembangkan rangkaian Malaysia-India melalui pelancaran laluan baharu ke Port Blair di Kepulauan Andaman, India sekaligus memperkukuh kedudukannya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka di rantau itu.
Menurut kenyataan hari ini, Air Asia berkata, laluan baharu itu menjadikannya sebagai satu-satunya syarikat penerbangan ASEAN yang mengendalikan penerbangan antarabangsa ke Port Blair.
Penerbangan terpendek dari Malaysia ke India itu dijadualkan bermula pada 16 November 2024 dengan tiga penerbangan mingguan ke pulau tersebut, menjadikannya destinasi ke-17 di India.
Air Asia berkata, dengan penambahan Port Blair, syarikat penerbangan itu mengendalikan 91 penerbangan mingguan ke pelbagai destinasi di seluruh India.
"Antara destinasi penerbangan kami ke India termasuk Chennai, Amritsar dan pada tahun ini juga kami telah melancarkan lapan laluan baharu ke Jaipur, Bhubaneswar dan Kozhikode.
"Port Blair merupakan bandar destinasi pantai popular bagi warganegara India dan kini menarik pelancong dari Malaysia dan luar negara," ujarnya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, sempena meraikan pelancaran destinasi baharu ini, AirAsia menawarkan tambang promosi perjalanan sehala dari Kuala Lumpur ke Port Blair bermula daripada RM199.
Tambang istimewa ini boleh ditempah di aplikasi AirAsia MOVE (dahulunya dikenali sebagai airasia Superapp) dan airasia.com mulai hari hingga 19 Ogos 2024 bagi tempoh perjalanan antara 16 November 2024 hingga 25 Oktober 2025.
Semua rakyat Malaysia layak untuk memasuki India tanpa visa bagi lawatan pelancongan sehingga 30 hari sehingga 30 Jun 2025.- DagangNews.com