AirAsia lancarkan penerbangan pertama ke Sabah dan Sarawak dari Subang selepas 24 tahun | DagangNews Skip to main content

AirAsia lancarkan penerbangan pertama ke Sabah dan Sarawak dari Subang selepas 24 tahun

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Ogos - AirAsia melancarkan penerbangan pertama ke Sabah dan Sarawak dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), menghubungkan semula perkhidmatan selepas 24 tahun pelancaran operasi pertamanya dari lapangan terbang yang sama.

 

Penerbangan pertama AK4102 dari Kota Kinabalu berlepas pada jam 6:25 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Subang pada jam 9:00 pagi. 

 

Pesawat tersebut disambut oleh pihak pengurusan Capital A dan AirAsia diikuti dengan majlis perlepasan penerbangan AK4235 ke Kuching dari Lapangan Terbang Subang pada jam 9:30 pagi.

 

 

hhh

 

Air Asia berkata, penyambungan semula perkhidmatan penerbangan ke Lapangan Terbang Subang akan meningkatkan lagi kesalinghubungan dalam negara. 

 

Pada tahun 2023, syarikat penerbangan itu telah membawa lebih daripada 14 juta penumpang di seluruh rangkaian domestik dengan 918 penerbangan mingguan. 

 

Dengan penambahan operasi di Subang, syarikat penerbangan itu berhasrat untuk meningkatkan lagi jumlah penumpang domestiknya.

 

hhh

 

Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun berkata, kepulangan rangkaian penerbangan Subang ke Sabah dan Serawak menandakan usaha berterusan syarikat penerbangan untuk mencapai kejayaan dan menetapkan taraf baharu dalam industri.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes yang Penasihat AirAsia Aviation Group berkata, pelan pembangunan semula Lapangan Terbang Subang dijangka merealisasikan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab penerbangan terkemuka di rantau ini.

 

"Penyambungan semula perkhidmatan pesawat satu lorong di sini adalah langkah ke arah memodenkan lapangan terbang sebagai terminal bandar berpotensi tinggi yang akan berfungsi sebagai hab untuk pengembara perniagaan. 

 

"AirAsia kini berada di kedudukan terbaik untuk mengembangkan perkhidmatan melalui perniagaan Capital A lain seperti Teleport, MOVE, Asia Digital Engineering, Santan, GTR dan lain-lain, serta komited untuk menyumbang kepada transformasi penting dalam industri penerbangan negara,” ujarnya. 

 

 

hhh
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes

 

Pengarah Urusan AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata lokasi strategik lapangan terbang itu yang berdekatan dengan pusat bandar dan kawasan setempat menawarkan pengalaman perjalanan lebih optimum dan fleksibel untuk para tetamu kami, terutamanya mereka yang membuat perjalanan ke dan dari Sabah dan Sarawak. 

 

"Kami berharap untuk menjadikan Subang sebagai hab keenam AirAsia di Malaysia pada masa akan datang seterusnya mengembangkan lagi rangkaian kami dan meningkatkan kebolehcapaian untuk pengembara di rantau ini,” ulas beliau. 

 

nnn

 

Pengembangan tersebut juga menjadikan AirAsia mempunyai rangkaian domestik paling luas sebanyak 40 laluan di seluruh negara dengan 1,860 penerbangan domestik mingguan menjelang akhir bulan Disember 2024.- DagangNews.com