KUALA LUMPUR 18 Julai - Syarikat penyelenggaraan, pembaik pulih pesawat Malaysia, Airod Sdn Bhd (Airod) meraih projek bernilai AS$1.5 juta (kira-kira RM7 juta) melalui kerjasamanya dengan Bar Aviation Ltd bagi menyelenggara pesawat L100 di Uganda.
Ia merupakan jalinan kerjasama kedua antara Airod dan Bar Aviation yang berpangkalan di Kampala, Uganda.
Menurut kenyataan hari ini, Airod berkata, projek itu akan dilaksanakan oleh pasukan khas terdiri daripada 11 profesional, termasuk dua jurutera.
"Selama180 hari, pasukan perkhidmatan talian global (GLS) menyasarkan untuk menetapkan piawaian baharu dalam perkhidmatan penyelenggaraan penerbangan," katanya.
Kata Airod, pasukan GLS merupakan unit khusus yang menyediakan perkhidmatan lapangan bagi pesawat Hercules C-130/L100 di seluruh dunia.
Tugas pasukan itu termasuk mengubahsuai medan pesawat, mengendalikan sistem operasi, menganalisis kerosakan dan menawarkan perundingan teknikal.
Kata Airod, pasukan itu telah menyampaikan perkhidmatan itu di banyak negara termasuk Indonesia, Filipina, Bangladesh, Sri Lanka, Emiriah Arab Bersatu, Yaman, Jordan, Tunisia, Mali, Botswana, Ecuador, Afghanistan dan Malaysia.
"Kerjasama ini bukan sahaja menggariskan kepentingan kerjasama antarabangsa tetapi membangunkan visi bersama untuk memupuk pertumbuhan sektor aeroangkasa di benua Afrika dan seterusnya," ujarnya.
Sementara itu, Bar Aviation merupakan pengeluar rangkaian perkhidmatan penerbangan komprehensif terkemuka di Afrika.
Perkhidmatannya termasuk penerbangan sewa, pengangkutan kargo, penyelenggaraan dan pengubahsuaian pesawat.- DagangNews.com