AirTrunk memulakan operasi pusat data hiperskala 150MW di Johor Bahru | DagangNews Skip to main content

AirTrunk memulakan operasi pusat data hiperskala 150MW di Johor Bahru

Oleh Syaza Norazharuddin

KUALA LUMPUR 30 Julai - Pusat data hiperskala 150 megawatt (MW) AirTrunk di Johor Bahru (JHB1) telah memulakan operasinya di Malaysia.

 

Dibina atas kawasan melebihi 10.3 hektar di Johor Bahru, pusat data itu menyediakan zon ketersediaan awan utama, menawarkan ketersambungan domestik dan antarabangsa yang padu kepada hab teknologi serantau termasuk Singapura melalui strategi sambungan rentas sempadan hujung ke hujung. 

 

Menurut AirTrunk, fasa permulaan JHB1 akan menyediakan lebih 50MW kapasiti bagi pelanggan syarikat teknologi terkemuka. 

 

"Pembangunan itu telah disiapkan dalam masa lebih 4 juta jam bekerja tanpa sebarang insiden keselamatan yang besar, pencapaian ini memperkukuhkan komitmen kami mengekalkan tahap keselamatan tertinggi di tapak pembinaan," katanya dalam kenyataan media.

 

Majlis perasmian JHB1 disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong dan dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke. 

 

Pembangunan JHB1 seiring dengan reka bentuk kuasa rendah industri Keberkesanan Penggunaan Kuasa (PUE) sebanyak 1.15, menjadikannya salah satu pusat data paling efektif di negara ini. 

 

Dengan tumpuan mempercepatkan peralihan tenaga dan menyokong keberkesanan tenaga, AirTrunk telah bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

Kerjasama itu merupakan susulan daripada MoU bersama TNB yang ditandatanganinya pada 2023, menyaksikan kedua-dua syarikat itu berusaha memajukan peralihan tenaga di rantau itu. 

 

Di samping itu, AirTrunk juga menekankan komitmennya terhadap inovasi dan pertumbuhan mampan, digabungkan pula dengan program pelaburan dalam ketersediaan tenaga dan elektrik boleh diperbaharui.

 

"Melalui pelaburan jangka panjang di Malaysia, kami dapat menyokong pelanggan kami dan melaksanakan penyelesaian perintis memangkinkan pembangunan awan dan kecerdasan buatan (AI) yang mampan,” katanya.

 

Ketua AirTrunk Malaysia, Pei Jet Lim menjelaskan syarikat itu turut memberi sokongan, membangunkan bakat tempatan serta menyediakan infrastruktur digital. 

 

"Pusat data baharu ini menyokong pertumbuhan rancak awan dan AI, dan ia sejajar dengan inisiatif Kerajaan untuk membangunkan hab AI di negara ini.  

 

"Permintaan jangka panjang JHB1 juga menyediakan kestabilan bagi menyokong pelaburan dalam grid tenaga dan memulakan pelbagai pembangunan tenaga hijau,” ujar beliau.- DagangNews.com