KUALA LUMPUR 31 Julai - Alliance Bank Malaysia Bhd (Alliance Bank) akan terus mengukuhkan segmen perniagaan teras untuk menyokong kedudukan pasaran pada tahun kewangan 2025 (FY25) dengan negeri Johor akan menjadi tumpuan utama.
Menurut kenyataan medianya selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-42 hari ini, Alliance Bank turut mahu mengukuhkan kehadiran di negeri Sabah.
"Alliance Bank telah mengorak langkah dengan meluaskan kehadiran pasarannya di koridor pertumbuhan ekonomi seperti Pulau Pinang dan Sarawak, seterusnya memacu lonjakan deposit tahun ke tahun yang memberangsangkan sebanyak 48% dan pertumbuhan pinjaman sebanyak 18% pada FY2024," katanya.
Alliance Bank juga menyasarkan untuk mengekalkan pertumbuhan dua angkanya dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Untuk mencapai sasaran ini, Bank akan mempercepatkan inisiatif pertumbuhan PKS, meningkatkan pemerolehan pelanggan melalui pelbagai saluran dan menambah keberkesanan dan kecekapan jualan.
"Bank juga akan memberi tumpuan kepada sektor pertumbuhan tinggi seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, penyelesaian hijau, ekonomi digital dan teknologi tinggi.
"Di samping itu, Bank akan menambah baik infrastruktur digitalnya bagi memaksimumkan hasil dan meningkatkan kecekapan kos serta produktiviti bagi memenuhi keperluan dinamik para pemilik perniagaan dengan lebih baik lagi ketika perniagaan mereka berkembang," kata kenyataan itu.
Menurut Alliance Bank, para pemegang saham telah diberikan taklimat tentang prestasi dan kemajuan bank dalam melaksanakan strategi transformasi Acceler8 pada AGM hari ini.
Katanya, pelan selama empat tahun itu merupakan hala tuju bank bagi memacu pertumbuhan mampan dan meningkatkan penghasilan nilai bagi para pemegang kepentingan.
"Antara sorotan penting keputusan kewangan bank pada tahun ini yang disokong oleh strategi Acceler8 termasuklah catatan tertinggi bagi hasilnya yang berjumlah RM2.02 bilion.
"Selain itu, bank telah mempamerkan tahap keuntungan kukuh dengan margin faedah bersih (NIM) sebanyak 2.48%, pulangan ekuiti sebanyak 10.2% dan perolehan sesaham sebanyak 44.6 sen.
"Pada 31 Mac 2024, pemodalan bank kekal kukuh dengan nisbah ekuiti biasa peringkat satu pada 12.5% dan nisbah modal peringkat satu pada 13.2%," jelasnya.
Bank turut mengumumkan jumlah dividen tahunan sebanyak RM345.2 juta, mewakili nisbah bayaran dividen sebanyak 50%.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, prestasi bank yang kukuh merentasi metrik kewangan dan bukan kewangan utama menggariskan arah tuju dan momentum positif yang ditunjukkan oleh strategi transformasi Acceler8 kami.
"Dalam ikhtiar kami menjadi 'The Bank For Life’ untuk para pelanggan, kami berusaha untuk terus membawa pembaharuan dan meningkatkan penawaran kami menyampaikan penyelesaian mudah yang tepat pada masanya dan diperibadikan, serta sesuai dengan keperluan pelanggan sepanjang hayat mereka.
"Kami kekal komited menyokong para pelanggan dalam setiap peringkat perjalanan mereka ke arah pertumbuhan,” kata beliau.
Strategi Acceler8 yang dilancarkan pada bulan Januari 2023 itu telah menjadi garis panduan penting dalam memacu pertumbuhan dan transformasi bank.
Sementara itu, menjelang FY25, Acceler8 akan terus memacu visi Alliance Bank ke arah menjadi Rakan Perbankan Pilihan dengan membimbing bank ke arah sasaran kewangan dan bukan kewangan FY27 yang lebih tinggi.- DagangNews.com