Alliance Bank peruntuk RM600j untuk PKS | DagangNews Skip to main content

Alliance Bank peruntuk RM600j untuk PKS

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos -  Institusi perbankan, Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) memperuntukkan RM600 juta menerusi Dana Bantuan Khas Bank Negara Malaysia (BNM) kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Peruntukan itu merupakan salah satu inisiatif bantuan kewangan dan tumpuan utama bank berkenaan menjelang tahun kewangan 2021 (FY21) yang berakhir 31 Mac tahun hadapan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich berkata, inisiatif kewangan berkenaan turut merangkumi lanjutan moratorium secara automatik selama tiga bulan kepada pelanggan yang terjejas.

 

“Prioriti pada FY21 adalah untuk membantu pelanggan kami seperti golongan B40, mereka yang bekerja dalam sektor terjejas seperti pelancongan, restoran dan runcit akibat COVID-19. Inisiatif ini termasuklah bantuan kewangan dan bukan kewangan.

“Kami juga telah melancarkan program-program bagi membantu PKS. Selain itu, Alliance Bank memperuntukkan RM30 juta bagi usaha digitalisasi di mana pelbagai program turut dilancarkan termasuk BizSmart® eTrade, yang membolehkan pelanggan untuk membuka akaun tanpa menghantar dokumen secara fizikal,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-38.

 

Setakat ini, Kornreich menjelaskan hampir 20% peminjam telah memohon untuk pengecualian moratorium sementara kira-kira 53% melanjutkan tempoh berkenaan. 

“Kami telah menghubungi semua pelanggan mengenai lanjutan moratorium dan ada antara mereka masih lagi keliru sama ada perlu untuk melanjutkannya atau tidak dan masih memerlukan masa untuk membuat penilaian,” tambah beliau.

 

Joel Kornreich
Joel Kornreich

 

Dalam masa sama, Alliance Bank turut memfokuskan pertumbuhan pemberian pinjaman yang dijangka mencapai antara 2% hingga 3% bagi FY21 yang dapat menyumbang kepada pendapatan bank berkenaan. 

“Kami berharap pada FY21, Alliance Bank mampu mencatatkan 50% jumlah pinjaman daripada jumlah yang pernah dicapai sebelum ini. 

“Sudah tentu ketika penularan COVID-19 ini, pencapaian itu agak terhad kerana ramai diberikan pengecualian pinjaman moratorium, dan berharap dapat mencatatkan pertumbuhan pemberian pinjaman pada FY21,” katanya.

Mengulas mengenai perolehan syarikat pada FY21, beliau menjangkakan keuntungan yang lebih rendah berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. 

Walaupun tiada angka yang tepat, namun jangkaan itu dibuat berdasarkan impak daripada pemotongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan juga peningkatan kos kredit bank.

Jelasnya, kos kredit akan meningkat selepas moratorium berakhir namun masih di bawah 100 mata asas (bps). - DagangNews.com