KUALA LUMPUR 6 Ogos - Am Investment Bank (AmInvest) mengisytiharkan pengagihan pendapatannya bagi 16 dana unit amanah dan dana borong dari Januari hingga Mac 2024.
Jumlah pengagihan pendapatan bersih diisytiharkan itu merangkumi dana konvensional dan patuh syariah merentasi pelbagai kelas aset, bernilai kira-kira RM66.8 juta.
AmInvest merupakan perniagaan pengurusan dana AmFunds Management Bhd dan AmIslamic Funds Management Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif AmFunds Management, Goh Wee Peng berbesar hati untuk mengumumkan pengagihan pendapatan itu kepada pelaburnya.
“Kami menggunakan strategi pelaburan yang sesuai dengan portfolio dana kami untuk memanfaatkan peluang pasaran dan terus memberikan pulangan jangka panjang kepada pelabur kami.
"Kami amat berterima kasih atas kepercayaan, sokongan dan keyakinan mereka kepada kami,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.
Pengurus dana pelbagai berpangkalan di Malaysia itu juga diiktirafkan sebagai pemenang anugerah dengan lebih 40 tahun pengalaman melabur.
AmInvest juga menguruskan dana borong, mandat institusi, dana dagangan bursa dan skim persaraan swasta.- DagangNews.com