AmInvestment unjur hasil buah tandan segar TSH Resources meningkat 3% pada FY23 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment unjur hasil buah tandan segar TSH Resources meningkat 3% pada FY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Ogos - AmInvestment Bank Research mengunjurkan hasil buah tandan segar (BTS) TSH Resources Berhad meningkat sebanyak 3% pada FY23.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada 1HFY23 hasil tuaian kumpulan itu mencatatkan kejatuhan sebanyak 21.2% bagi pengeluaran BTS pada April.

 

Katanya, sebilangan besar pekerja ladang mereka pulang kampung semasa cuti Hari Raya Aidilfitri tahun ini selepas perjalanan terhad sejak dua tahun lalu akibat COVID-19.

 

"Pengeluaran BTS kumpulan  dijangka bertambah baik pada 2HFY23. Walaupun cuaca semakin kering tetapi hujan masih mencukupi.

 

"Kami percaya bahawa tuaian pada separuh kedua akan merangkumi 55%-60% daripada pengeluaran BTS setahun penuh dan separuh pertama mencakupi 40% hingga 45%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) di Indonesia dianggarkan kekal tidak berubah pada RM2,000 setiap tan pada FY23.

 

Katanya, walaupun kos upah dijangka meningkat sebanyak 3% hingga 5% namun kos baja diunjur menurun sebanyak 10% padatahun ini.

 

"Kos pengeluaran MSM bagi setiap tan dijangka menurun berikutan pengeluaran BTS yang lebih kukuh," katanya.

 

Sementara itu, kumpulan itu akan memulakan penanaman baru kelapa sawit di Indonesia pada FY24 selepas berehat tertangguh selama beberapa tahun.

 

Katanya, penanaman baru kelapa sawit dianggarkan seluas 1,200 hektar hingga 1,500 hektar pada FY24 berbanding hanya beberapa ratus hektar pada FY23. 

 

"Kumpulan itu mempunyai rizab tanaman seluas 10,000 hingga 15,000 hektar di Indonesia dan kos penanaman baharu sehingga matang ialah RM15,000 bagi setiap hektar hingga RM20,000 bagi setiap hektar," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar (FV) RM1.05 sesaham.- DagangNews.com