ASM 2 Wawasan umumkan 4.75 sen pengagihan pendapatan seunit untuk FY24 | DagangNews Skip to main content

ASM 2 Wawasan umumkan 4.75 sen pengagihan pendapatan seunit untuk FY24

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 4.75 sen seunit bagi Amanah Saham Malaysia 2 - Wawasan (ASM 2 Wawasan) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2024 (FY24).

 

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu berkata, jumlah pengagihan pendapatan bagi dana harga tetap berjumlah RM1.13 bilion bagi FY24. 

 

Dalam satu kenyataan hari ini, PNB berkata, pendapatan tersebut akan memberi manfaat kepada lebih 939,200 pemegang unit di mana pengagihan akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun mereka pada 1 September 2024.

 

Sehingga 26 Ogos 2024, ASM 2 Wawasan mencatatkan keuntungan bersih RM1.27 bilion manakala jumlah pendapatan kasar RM1.54 bilion.

 

Pengagihan itu diterjemahkan kepada jumlah pulangan sebanyak 4.75%, mengatasi prestasi penanda aras simpanan tetap 12 bulan Maybank pada 2.71% sebanyak 204 mata asas.

 

Menurut PNB, pendapatan untuk ASM 2 Wawasan diperoleh daripada keuntungan modal, dividen dan sumber hasil lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.

 

"Pendapatan daripada ekuiti kekal sebagai penyumbang utama menerusi pelaburan antarabangsa dan domestik masing-masing menyumbang 48% dan 40.6% kepada pendapatan kasar dana.

 

"Dana itu juga mendapat manfaat daripada kepelbagaian portfolio ke dalam kelas aset lain, terutamanya hartanah dan ekuiti persendirian yang mewakili 8.6% daripada jumlah nilai aset bersih (NAB)," katanya.

 

PNB berkata pengiraan agihan pendapatan bagi ASM 2 Wawasan adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana itu.- DagangNews.com