Aura negatif 'hilang', pasaran kembali melantun | DagangNews Skip to main content

Aura negatif 'hilang', pasaran kembali melantun

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 8 Jan. - Di sebalik kebimbangan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan semula bila-bila masa, pasaran saham tempatan petang ini kembali melantun tinggi didorong kekuatan saham-saham berkaitan sarung tangan getah.

 

Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.89% atau 30.24 mata untuk ditutup kepada 1,633.19 mata. 

 

Keseluruhan pasaran bagaimanapun negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 1,040 berbanding 353 manakala 283 kaunter tidak berubah. 

 

Pasaran yang bergerak dalam jajaran antara 1,595.12 hingga 1,633.19 mata menyaksikan 10.03 bilion saham bertukar tangan bernilai RM7.17 bilion. 

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, ketika ini wujud kebimbangan dalam kalangan rakyat sama ada PKP dilaksanakan atau tidak yang dilihat akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi. 

 

Apatah lagi, negara-negara seperti Jepun, perintah darurat telah diumumkan di tengah-tengah lonjakan kes COVID-19. 

 

Dalam masa sama, katanya, situasi politik juga tidak menentu sepanjang minggu ini, apabila UMNO dilaporkan tidak menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pilihan raya akan datang. 

 

"Semua unsur negatif ini telah diredakan dengan kemenangan Demokrat membolehkan Presiden AS Joe Biden, menguasai Senat, membuka ruang bagi pentadbirannya untuk menggunakan perbelanjaan fiskal bagi merangsang ekonomi yang dilanda wabak COVID-19," katanya kepada DagangNews.com. hari ini.

 

Beliau berkata, dalam kalangan komponen 30 FBM KLCI indeks, kaunter sarung tangan getah seperti Hartalega, Supermax dan Top Glove meraih untung lebih daripada 10% dalam dagangan hari ini. 

 

Peningkatan jangkitan wabak itu di seluruh dunia, secara tidak langsung meningkatkan permintaan sarung tangan getah dan memberi prospek yang lebih baik, tambahnya. 

 

"Untuk itu, indeks FBM KLCI dijangka kekal kekal berada dalam jajaran kecil antara 1,630 dan 1,640 mata memandangkan para pelabur masih lagi khuatir sekiranya PKP dikuatkuasakan. 

 

"Jika ini benar-benar dilaksanakan sekali lagi, penjualan dijangka berlaku dalam pasaran dan akan menolak turun pasaran tempatan di bawah 1,600 mata," katanya. 

 

Bagi pasaran kewangan, Adam Mohamed berkata, terdapat risiko penurunan yang menyaksikan ringgit diniagakan pada paras RM4.03 berbanding dolar AS. 

 

"Ringgit boleh terus menyusut sekiranya kerajaan mengumumkan PKP lagi, dengan jatuh kepada RM4.07 berbanding dolar AS," katanya. 

 

Petang ini, ringgit ditutup pada RM4.0300/0340 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan semalam 4.0350/0410. 

 

Dalam nota kajian sebelum itu, TA Securities Holdings Bhd. berkata, dagangan hari ini kekal tidak menentu terutama dengan mengambil kira situasi politik semasa dan jangkaan PKP dilaksanakan semula di zon merah. 

 

Keadaan ini, menurutnya, akan menyebabkan momentum pemulihan ekonomi berlaku sebaliknya sekiranya kes jangkitan harian COVID-19 semakin meningkat. 

 

"Apa yang berlaku dalam pasaran semalam, adalah pemburuan saat-saat akhir saham pengeluar sarung tangan getah dan perladangan, telah melonjakkan saham-saham mewah dalam FBM KLCI untuk ditutup melepasi 1,600 mata. 

 

"Sedangkan hakikatnya, dalam pasaran yang lebih luas, ia diselubungi ketidakpastian dalam politik tempatan dan kebimbangan pelaksanaan PKP yang akan memperlahankan momentum pemulihan ekonomi," katanya.  

 

Dalam sidang akhbar petang tadi, Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perdana Menteri akan membuat pengumuman mengenai langkah menangani COVID-19 pada Isnin depan. - DagangNews.com