KUALA LUMPUR 31 Julai - AwanBiru Technology Bhd (Awantec) melalui anak syarikatnya, Awantec Systems Sdn Bhd (ASSB) memeterai memorandum persefahaman bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) semasa majlis perasmian Cybersecurity Summit 2024 pada Selasa.
Kerjasama strategik itu bertujuan untuk meningkatkan, menggalakkan dan membangunkan teknologi keselamatan siber, serta menekankan pembangunan bakat bagi memperkukuhkan landskap keselamatan siber Malaysia.
MoU tersebut telah dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif AwanBiru Technology Bhd, Azlan Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara, Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin.
Dalam kenyataan media, Awantec berkata kehadiran wakil dari ABBS dan NACSA menandakan detik penting bagi syarikat itu.
Di samping itu, dalam usaha MoU tersebut, kedua-dua pihak akan membangunkan dan melaksanakan teknologi baharu dalam keselamatan siber, memberi fokus kepada penyelesaian inovatif dalam menangani ancaman siber.
Awantec turut berkata, kerjasama itu akan memperluaskan lagi pelancaran inisiatif keselamatan siber baharu yang menjurus kepada latihan, peningkatan kemahiran dan memenuhi permintaan industri, dengan menekankan persediaan pembelajaran dalam talian dan platform pekerjaan.
Ketua Pengarah Eksekutif AwanBiru Technology Bhd, Azlan Zainal Abidin berkata kerjasama antara ASSB dan NACSA adalah penting dalam pembangunan keselamatan siber.
"Dengan menggabungkan kepakaran dan sumber kami, kami berhasrat untuk mewujudkan ekosistem keselamatan siber teguh yang bukan sahaja menangani cabaran semasa tetapi juga memupuk bakat masa depan," ujar beliau.
Sementara itu, Awantec menekankan kerjasama antara ASSB dan NACSA akan memacu inovasi, memperkasakan profesional, dan memperkukuh landskap keselamatan siber Malaysia.
"Memandangkan kedua-dua pihak berhasrat untuk membuka jalan bagi masa depan digital yang lebih selamat, perkongsian ini menekankan komitmen bersama ke arah kecemerlangan dan kemajuan berterusan dalam teknologi keselamatan siber, pembangunan bakat dan pendidikan," kata Awantec. - DagangNews.com