KUALA LUMPUR 23 Julai - Bank Rakyat meneruskan sokongannya kepada usahawan asnaf melalui program RAKYATpreneur 5.0 dan Bank Rakyat UNIpreneur 4.0, dengan pembiayaan gabungan RM3.82 juta untuk 800 bakal usahawan.
Inisiatif-inisiatif tersebut berjaya membantu 1,833 usahawan dan pelajar asnaf melalui pembiayaan sebanyak RM6.63juta dalam tempoh tiga tahun.
Menurut bank itu, program RAKYATpreneur merupakan inisiatif kewangan sosial menyasarkan untuk membantu usahawan asnaf berpotensi tinggi mengembangkan perniagaan mereka.
Di samping itu, program UNIpreneur pula merupakan kerjasama antara bank itu dan institusi pengajian tinggi tempatan (IPT) dalam membimbing usahawan pelajar kurang berkemampuan daripada universiti terpilih.
Kedua-dua program itu juga dipaparkan dalam laporan 2023 Kumpulan Bank Dunia mengenai kesan kewangan sosial.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, keupayaan sebuah perniagaan menyesuaikan diri dengan cabaran landskap semasa adalah penting.
Bagi memastikan kemampanan perniagaan, ia memerlukan usaha berterusan untuk menambah baik proses pengurusan dan kecekapan operasi, serta pelaksanaan penuh teknologi dan amalan inovasi
Walubagaimanapun, beliau menegaskan visi tersebut merupakan satu cabaran kepada usahawan golongan asnaf.
Ini kerana mereka mesti kekal proaktif dalam mengembangkan pasarannya dan peluang perniagaan di samping mengekalkan keupayaan kewangan mampan.
“Justeru, inisiatif Bank Rakyat ini bertujuan mengukuhkan kebajikan masyarakat dengan menangani keperluan ekonomi dan membantu golongan terpinggir daripada kemiskinan relatif.
“Saya memuji pelaksanaan program-program ini kerana ia menyokong pembangunan bakal usahawan dan pelajar dengan menyediakan pembiayaan, modul latihan, dan bimbingan holistik.
“Ini juga mewujudkan peluang kepada usahawan untuk mengembangkan dan memajukan perniagaan mereka,” kata Ramanan semasa majlis perasmian program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur 2024 di sini hari ini.
Menurut beliau, RAKYATpreneur 4.0 sebelum ini, melibatkan 300 usahawan menunjukkan hasil positif, iaitu 63% atau 189 peserta mencatatkan peningkatan jualan dalam tempoh program enam bulan.
Sebanyak 69% bersamaan 208 peserta telah mula menyimpan wang daripada jualan mereka dan 62% lagi iaitu 187 peserta telah mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
UNIpreneur 3.0 pula telah melibatkan 500 usahawan dari segi pemerkasaan kewangan, dengan 90% atau 451 peserta mempunyai simpanan bulanan.
Ramanan berkata mereka juga telah menggunakan platform digital untuk menjana pendapatan, dengan 53.8% atau 269 peserta, menjalankan perniagaan dalam talian dan 67% atau 335 peserta, menggunakan transaksi digital.
Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, kedua-dua program itu menyokong inisiatif iTEKAD oleh Bank Negara Malaysia.
“Peluang ini membolehkan usahawan mikro mengakses pembiayaan untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.” ujar beliau.
Beliau berkata menerusi inisiatif itu, Bank Rakyat telah membantu usahawan dan pelajar kurang berkemampuan meningkatkan kecekapan mereka, mengenal pasti dan merebut peluang bagi mengekal relevan dalam pasaran.
“Sokongan ini berjaya menghasilakn perniagaan lebih mampan dan meningkatkan sumber pendapatan mereka.
“Kesinambungan kedua-dua program ini menunjukkan komitmen kami memacu pertumbuhan sosioekonomi negara, khususnya dalam meningkatkan potensi usahawan yang kurang bernasib baik,” tambahnya.
Sementara itu, Bank Rakyat memperkenalkan program perintis Accelerator pada 23 Mei 2024 untuk memberi peluang kepada alumni kedua-dua program itu menerima pembiayaan tambahan sehingga RM15,000 bagi merancakkan lagi perniagaan mereka.
Sebanyak 112 rancangan perniagaan telah diterima, dan 20 daripadanya memperoleh pembiayaan berjumlah RM242,383.- DagangNews.com