KUALA LUMPUR 30 Julai - Bank Taiwan, E.SUN Bank membuka pejabat perwakilan pertama Malaysia di Kuala Lumpur, mengukuhkan lagi komitmennya kepada kemajuan ekonomi rantau ASEAN.
Sejak kebelakangan ini, ekonomi ASEAN berkembang pesat kerana peningkatan pelaburan daripada syarikat antarabangsa dan pelabur Taiwan yang didorong oleh perubahan dalam rantaian bekalan global.
Berdasakan strategi terasnya, "Berakar umbi di Taiwan, Mengembang ke seluruh Asia," E.SUN Bank kini mempunyai cawangan di Singapura, Vietnam, Kemboja, Myanmar dan pejabat perwakilan di Thailand.
E.SUN Bank juga telah menganjurkan majlis makan malam gala di Kuala Lumpur pada Isnin sempena pembukaan pejabat perwakilan Kuala Lumpur.
Turur hadir majlis itu ialah Pengerusi E.SUN Bank, Joseph Huang; Timbalan Wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, James Buu dan Presiden Dewan Perniagaan & Industri Taiwan di Malaysia (TWCHAM), Lin Kai Min.
Pada majlis itu, Buu berkata E.SUN Bank merupakan pakar dalam sektor tadbir urus korporat, mengekalkan prestasi komprehensif serta komited mempromosikan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) secara aktif.
Beliau juga menekankan pencapaian itu mendorong E.SUN Bank disenaraikan dalam Indeks Kemampanan Dow Jones selama 10 tahun berturut-turut.
"Taiwan dan Malaysia mempunyai hubungan ekonomi dan perdagangan yang sangat rapat.
"Kami percaya E.SUN Bank Kuala Lumpur bukan sahaja akan menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada perniagaan Taiwan di Malaysia dan ASEAN tetapi juga akan menegakkan nilai integriti, profesionalisme dan tanggungjawab serta memupuk pertumbuhan dan pembangunan di Malaysia,” ujarnya.
Min turut menerangkan bahawa E.SUN Bank dikenali kerana imej pengurusan, kualiti perkhidmatan dan inovasi kewangannya.
"Melalui platform perkhidmatan kewangan multinasional yang ditubuhkan oleh E.SUN, saya percaya perusahaan Malaysia dan perniagaan Taiwan yang ingin melabur di Malaysia pada masa hadapan akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini,” ulas beliau.
Di samping itu, E.SUN Bank berkembang pesat di peringkat global melalui penubuhan cawangan di luar negara.
Bank multinasional itu mendapat manfaat daripada platform kewangan rentas sempadan E.SUN Bank, yang memudahkan transaksi seperti deposit, saluran kredit dan pengurusan kekayaan disesuaikan dengan operasi tempatan mereka.
E.SUN Bank turut berkata, penubuhan pejabat perwakilan Kuala Lumpur berfungsi sebagai sumber pengumpulan maklumat ekonomi dan kewangan tempatan, menyediakan perkhidmatan perundingan kepada perniagaan Taiwan yang beroperasi di Malaysia, dan meningkatkan penyelarasan bersama unit lain dalam platform ASEAN E.SUN.
Dengan penambahan pejabat perwakilan Kuala Lumpur, E.SUN Bank kini mengendalikan 32 cawangan di 11 negara.- DagangNews.com