Bekas KPN Hamid Bador tidak bertanding PRU15 - Tun M | DagangNews Skip to main content

Bekas KPN Hamid Bador tidak bertanding PRU15 - Tun M

Tan Sri Abdul Hamid Bador - Gambar Facebook Abdul Hamid Bador

BANGI 3 Nov - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, yang sebelum ini dikatakan akan bertanding mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disahkan tidak bertanding.

 

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, Abdul Hamid belum bersedia untuk menjadi calon, lapor Berita Harian.

 

"Beliau tidak bertanding... belum bersedia," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Calon PRU15 GTA-Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) di sini, semalam.

 

Sebelum ini, Abdul Hamid dikatakan akan bertanding di Parlimen Rembau, sekaligus bakal berdepan dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, yang sejak awal menyatakan hasrat bertanding di kerusi berkenaan.

 

Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail berkata, gabungan itu mahu meletakkan nama besar seperti Abdul Hamid bagi memberikan saingan sengit di kawasan itu.

 

Pada PRU15, GTA turut meletakkan nama terkenal sebagai calon, termasuk pengarah dan pelakon, Ahmad Idham Ahmad Nadzri serta pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof.

 

Ahmad Idham dan Eizlan, daripada NGO, Gagasan Bangsa, masing-masing akan bertanding di Parlimen Port Dickson dan Sabak Bernam, atas tiket PEJUANG.

 

Selain dua selebriti itu, pelakon, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando turut dicalonkan bagi Parlimen Tanjung Karang. - DagangNews.com