Betamek catat untung bersih RM4.8 juta pada 1QFY24 didorong hasil sebanyak RM43.5 juta | DagangNews Skip to main content

Betamek catat untung bersih RM4.8 juta pada 1QFY24 didorong hasil sebanyak RM43.5 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Julai - Betamek Berhad mencatatkan untung bersih sebanyak RM4.8 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2023 (1QFY24) dan mengumumkan pemberian dividen sebayak RM4.5 juta atau 1 sen sesaham.

 

Prestasi itu disokong hasil RM43.5 juta yang dicatatkan pada suku tersebut, dengan 77.4%  diperoleh daripada segmen produk audio dan visual kenderaan dan bakinya daripada segmen aksesori kenderaan.

 

Dividen interim sebanyak 1 sen sesaham akan dibayar pada 18 Ogos ini.

 

"Dari suku ke suku, untung bersih Betamek susut 16% daripada RM5.7 juta, manakala hasil turun 22% daripada RM56 juta, tanpa adanya insentif pengecualian cukai jualan untuk kenderaan penumpang yang berakhir pada Mac 2023," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Betamek merupakan pembekal produk audio dan video kenderaan untuk Perodua.

 

Pembuat kereta nasional itu menyaksikan jumlah jualan kukuh sebanyak 705,000 unit bagi 2023 dan menjangka menguasai 44.5% bahagian pasaran walaupun industri menjangkakan jumlah yang lebih rendah apabila tamat tempoh skim cukai.

 

Pengarah Urusan Betamek, Mirzan Mahathir berkata, industri automotif juga sedang berubah, dengan pertumbuhan dalam pasaran seperti kenderaan elektrik (EV) membuka lebih banyak pintu untuk Betamek.

 

"Betamek akan terus memberi perkhidmatan kepada pelanggan utamanya di pasaran Malaysia dan mengambil langkah untuk meneroka rumusan teknologi inovatif dalam penyediaan permintaan masa hadapan.

 

“Ini termasuk potensi kerjasama dengan rakan kongsi teknologinya Shenzen Zhonghong Technology Co. Ltd," katanya.

 

Beliau berkata, kumpulan itu akan menunjukkan peningkatan dalam keupayaan pembuatannya bagi meningkatkan automasi termasuk melabur dalam segmen  pergudangan pintar serta sistem pengendalian bahan.

 

“Rantaian bekalan dan harga bahan mentah yang semakin normal ditambah dengan usaha untuk mengawal kos operasi dan kewangan dengan lebih baik, akan terus menyokong prestasi kumpulan," katanya. - DagangNews.com