BN yakin menang 112 kerusi pada PRU15 - PM | DagangNews Skip to main content

BN yakin menang 112 kerusi pada PRU15 - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

BERA 10 Nov - Barisan Nasional (BN) yakin dapat memenangi 112 kerusi untuk membentuk kerajaan majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

 

Keyakinan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO selepas taklimat bersama pemimpin utama UMNO dan BN, hari ini, lapor Berita Harian.

 

Katanya, berdasarkan laporan jentera BN di seluruh negara, sokongan rakyat kepada parti itu semakin kuat termasuk dalam kalangan pengundi bukan Melayu.

 

"Saya bersama Top 5 bermesyuarat tadi (hari ini) dan kita dapati perkembangan amat positif diterima BN ketika ini.

 

"Kita sedang mendahului dan yakin akan menang dalam PRU15 pada 19 November ini nanti dengan penguasaan 112 kerusi bagi membentuk kerajaan majoriti mudah," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Batu Bor di Kuala Bera, di sini hari ini.

 

Yang turut hadir, calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai, Datuk Sabariah Saidan.

 

Hari ini, Ismail Sabri menghadiri pelbagai program menyantuni pengundi sebaik selesai program di Johor dan Melaka semalam.

 

Dalam pada itu, Ismail Sabri percaya sokongan dari rakan strategik parti dari Sabah dan Sarawak juga akan mampu memperkuatkan kerajaan yang dibentuk.

 

"Kita (BN) boleh lepas (menang) 112 kerusi untuk bentuk kerajaan sendiri tapi saya percaya kita bukan bersendirian dan perlukan kerajaan lebih kuat bersama rakan dari Sabah dan Sarawak.

 

"Kita juga mengharapkan sokongan mereka untuk memperkuatkan kerajaan akan datang agar lebih banyak penambahbaikan boleh dilakukan untuk negara," katanya.

 

Beliau yang juga calon BN kerusi Parlimen Bera berkata, kerajaan lebih stabil diperlukan walaupun kini tidak akan berlaku lompat parti susulan sudah dikuatkuasakan. - DagangNews.com