BNM gesa rakyat peka risiko "Beli Sekarang Bayar Kemudian" | DagangNews Skip to main content

BNM gesa rakyat peka risiko "Beli Sekarang Bayar Kemudian"

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Julai - Bank Negara Malaysia (BNM) menggesa orang ramai supaya peka terhadap risiko kemudahan hutang secara mudah di platform digital termasuklah melalui skim “Beli Sekarang Bayar Kemudian” atau “Buy-Now-Pay-Later” (BNPL).

 

Timbalan Gabenor BNM, Adnan Zaylani Ahmad Zahid berkata, berikutan itu, penyedia platform BNPL dan pihak-pihak berkaitan diseru untuk meningkatkan usaha menyampaikan mesej pendidikan kewangan yang sesuai terutamanya sebelum sesuatu transaksi digital dijalankan.

 

"Manfaatkanlah akses secara terus kepada pengguna untuk kebaikan dengan menyampaikan mesej pendidikan kewangan penting, seperti menggesa pengguna agar tidak mendedahkan maklumat perbankan peribadi kepada pihak ketiga dan menggalakkan pengambilan hutang secara bertanggungjawab," katanya.

 

Adnan Zaylani berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Celik Kewangan (KCK) Pahang 2024 di Kuantan baru-baru ini.

 

Karnival yang berlangsung selama dua hari itu dianjurkan oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) dengan kerjasama industri kewangan bermula 6  Julai 2024. 


 
Ia adalah usaha untuk melengkapkan rakyat di seluruh negara dengan kemahiran pengurusan kewangan dan meningkatkan rangkuman kewangan.

 

Sementara itu, Adnan Zaylani berkata, daripada aspek ekonomi negara, apabila individu dan perniagaan membuat keputusan kewangan yang bijak, mereka cenderung untuk berbelanja dengan lebih berhemah, lantas membawa kepada kestabilan ekonomi. 

 

Katanya, pelaburan yang bijak pula membantu menggerakkan dana ke sektor yang lebih produktif, menyumbang kepada inovasi dan peningkatan produktiviti. 

 

"Ini membolehkan perniagaan berkembang dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, mengurangkan pengangguran dan meningkatkan pendapatan isi rumah. 

 

"Dengan pengurusan kewangan yang baik, individu dan perniagaan akan lebih bersedia berdepan ketidakpastian ekonomi," jelasnya.

 

Namun begitu, kata beiau, Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan 2021 misalnya mendapati hanya 16% rakyat Pahang berpandangan yang wang perlu dirancang secara berhemat.

 

"Perspektif sebegini menyumbang kepada kurangnya penampan kewangan, di mana ramai mendapati sukar untuk menyediakan wang RM1,000 dalam situasi kecemasan.

 

"Sesungguhnya, keupayaan membuat keputusan kewangan dengan bijak dan mempunyai wang kecemasan dapat meningkatkan pendapatan dan simpanan secara beransur-ansur. 

 

Langkah-langkah seperti mengamalkan bajet bulanan, mengelak pembelian tidak perlu, berikhtiar mengurangkan hutang, menabung untuk kecemasan, memulakan pelaburan selamat dan berniaga secara sambilan mampu menyumbang ke arah ini," ujarnya.- DagangNews.com