KUALA LUMPUR 15 Ogos - Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) memaklumkan syarikat usaha samanya (JV), BHIC AeroServices Sdn. Bhd. (BHICAS) menerima kontrak berkaitan Helikopter EC725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) daripada Kementerian Pertahanan bernilai RM378 juta.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, BHIC berkata, BHICAS telah menerima Surat Anugerah (LOA) bertarikh 2 Ogos 2024 daripada Kementerian Pertahanan mewakili Kerajaan Malaysia.
BHICAS merupakan usaha sama antara BHIC Defence Technologies Sdn Bhd (51%), Prestige Pillar Sdn Bhd (30%) dan Airbus Helicopters Malaysia Sdn Bhd (19%).
"BHICAS diberikan Kontrak Sokongan Dalam Perkhidmatan dan Berdasarkan Prestasi untuk Helikopter EC725 TUDM dengan nilai kontrak sebanyak RM378 juta untuk tempoh lima tahun dari tarikh penerimaan dan tandatangan LOA oleh BHICAS," katanya hari ini.
Menurut BHIC, kontrak formal antara Kerajaan Malaysia dan BHICAS akan dimuktamadkan dan dilaksanakan pada tarikh yang akan datang.
"Kontrak ini akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan Kumpulan BHIC untuk tahun kewangan dari 2024 hingga 2029.
"Tiada pengarah atau pemegang saham utama Syarikat, atau individu yang berkaitan dengan mereka, mempunyai sebarang kepentingan, langsung atau tidak langsung, dalam Kontrak tersebut," jelasnya. - DagangNews.com