Boustead Properties serahkan kunci kepada pemilik rumah fasa pertama Balau Homes di Mutiara Hills, Semenyih | DagangNews Skip to main content

Boustead Properties serahkan kunci kepada pemilik rumah fasa pertama Balau Homes di Mutiara Hills, Semenyih

Unit-unit Fasa 1A1, Balau Homes One, sedia untuk diduduki.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Pemaju hartanah, Boustead Properties Bhd menyerahkan kunci kepada para pemilik rumah fasa pertama pembangunan Balau Homes di perbandaran Mutiara Hills, Semenyih.

 

Menurut Bousted Properties, Balau Homes One merupakan fasa permulaan yang menetapkan standard bagi pembangunan itu dengan reka bentuk kontemporari dan kemudahan yang teliti. 

 

Fasa pertama tersebut merangkumi tiga sub-fasa iaitu Fasa 1A1, Fasa 1A2 dan Fasa 1B. 

 

Kata Bousted Properties, 74 unit di Fasa 1A1 kini sedia untuk dihuni bagi pemilik rumah berpindah ke kediaman baharu mereka. 

 

"Rumah teres dua tingkat pegangan bebas ini yang berstatus hak milik individu mempunyai keluasan binaan antara 1,512 kaki persegi sehingga 2,158 kaki persegi.

 

"Setiap rumah mempunyai empat bilik tidur serta tiga hingga empat bilik mandi, pada tanah berukuran 20 kaki x 70 kaki. 

 

"Harga bagi perumahan ini bermula dari RM505,000.00," ujar Bousted Homes dalam kenyataan hari ini. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Properties, Khairul Azizi Ismail berkata, pembangunan Fasa 1A1 Mutiara Hills bukan sahaja mengukuhkan kedudukan syarikat dalam pasaran hartanah, tetapi sejajar dengan keperluan pembeli rumah yang mencari rumah permulaan mampu milik.

 

Beliau juga menekankan lokasi strategik projek ini sesuai untuk kediaman, rekreasi dan pengembaraan serta menyokong gaya hidup berkualiti tinggi.

 

Salah seorang pemilik rumah baharu, Teh Bee Ying yang juga merupakan residen di  Mutiara Damansara telah membeli dua unit tambahan dalam Fasa 1A1. 

 

Sebagai penduduk di Mutiara Damansara, beliau telah melihat sendiri komitmen dan kualiti projek Boustead Properties. 

 

"Keperincian dan dedikasi Bousted Properties dalam mewujudkan komuniti yang sejahtera memberikan saya keyakinan untuk membeli dua unit Fasa 1A1 Balau Homes One," ujar beliau. 

 

Pemaju hartanah itu berkata, Balau Homes One yang mempunyai 230 unit di tiga sub-fasa menawarkan rumah yang luas untuk keluarga yang sedang berkembang. 

 

"Lokasi strategik Balau Homes, berhampiran Bukit Broga dan lebuh raya utama seperti LEKAS, Lebuh Raya Cheras-Kajang dan Lebuh Raya Sungai Besi, menawarkan kemudahan dan menghubungkan ke bandar-bandar seperti Kajang, Bangi, Putrajaya, dan Cyberjaya," ulas Bousted Properties. 

 

Sementara itu, Mutiara Hills menjaminkan pengalaman hidup setaraf dengan Mutiara Damansara di Petaling Jaya, Selangor dan Mutiara Rini di Skudai, Johor.- DagangNews.com