Brent cecah AS$45 setong, didorong perkembangan vaksin COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Brent cecah AS$45 setong, didorong perkembangan vaksin COVID-19

 

 

 

NEW YORK 12 Nov. - Harga minyak Brent melonjak pada Rabu, mencecah AS$45 setong, paras tertinggi dalam tempoh 2 bulan. 

Ini berikutan meningkatnya keyakinan terhadap vaksin COVID-19 yang boleh merangsang semula permintaan dalam pasaran meskipun peningkatan kes terus mencetuskan kebimbangan. 
 
Menurut Reuters, Brent menokok 19 sen atau 0.4% kepada AS$43.80 setong selepas diniagakan pada sesi awal mencapai paras kemuncak AS$45.30, yang kali terakhir dilihat pada awal September. 

West Texas Intermediate (WTI) pula meningkat 9 sen kepada AS$41.45 setong, selepas diniagakan pada AS$43.06 setong. 

Minggu ini, kedua-dua harga minyak mentah itu melonjak 11% selepas data awal menunjukkan vaksin COVID-19 yang dibangunkan Pfizer Inc. dan BioNTech mempunyai keberkesanan sehingga 90%. 

Pengarah niaga hadapan tenaga Mizuho yang berpangkalan di New York, Bob Yawger berkata, kes jangkitan yang direkodkan sudah cukup menyentap sesiapa sahaja untuk kembali ke realiti. 

Sementara itu, rakan kerjasama pengasas Again Capital, John Kilduff menyifatkan, jangkaan terhadap vaksin ini boleh memulihkan kembali permintaan terhadap bahan api pengangkutan adalah sangat kritikal bagi pasaran minyak. 

Pelaksanaan semula sekatan di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) bagi mengekang penularan wabak secara tidak langsung memberi kesan kepada pemulihan permintaan bahan api. 

Tetapi keadaan ini diimbangi oleh pemulihan di negara-negara Asia dengan penggunaan hampir ke paras pra-COVID-19.

Minggu lalu, stok minyak mentah AS jatuh 5.1 juta tong kepada kira-kira 482 juta tong, menurut data yang dikeluarkan kumpulan industri pada Selasa. 

Jumlah ini adalah berbeza berbanding pengurangan sehingga 913,000 tong seperti dijangkakan penganalisis dalam kaji selidik Reuters. - DagangNews.com