Cadangan Dasar Gaji Progresif adalah pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Cadangan Dasar Gaji Progresif adalah pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum - PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), hari ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan cadangan Dasar Gaji Progresif adalah pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum dan ia merupakan satu anjakan arah memulihkan pasaran pekerja supaya gaji dapat ditingkatkan dengan lebih konsisten dan seimbang.

 

Beliau berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah berbincang mengenai cadangan itu dan ia adalah bersifat sukarela (voluntary), berteraskan insentif (incentive-based), dan terkait dengan produktiviti (productivity-linked).

 

Katanya, model dasar ini diusulkan setelah MTEN selepas mengambil kira pandangan serta kepentingan pihak majikan dan pekerja. 

 

"Dasar ini, yang merupakan pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum, akan disusuli dengan garis  panduan gaji progresif tahunan bagi setiap sektor, pekerjaan, dan peringkat. 

 

"Sesi libat urus dan tinjauan awal telah menunjukkan sebanyak 62% pekerja dan 80% syarikat menyambut baik cadangan Dasar Gaji Progresif dengan ciri-ciri yang dinyatakan, dan MTEN berharap dasar ini akan menerima sambutan dan penyertaan sebanyak syarikat dan pekerja yang mungkin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, langkah selanjutnya adalah sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak berkepentingan, terutamanya para pemain industri, perniagaan dan pekerja. 

 

Beliau berkata, perkara itu akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi memperhalusi mekanisma pelaksanaan secara berperingkat dan meneroka keperluan untuk memperuntukkan dana sebagai insentif dasar ini yang akan ditentukan berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan dan keperluan dasar. 

 

"MTEN berpandangan bahawa Dasar Gaji Progresif merupakan salah satu reformasi pasaran pekerja untuk memastikan pekerja Malaysia tidak dibebankan dengan kos sara hidup dan dapat menikmati pekerjaan dengan  gaji yang bermaruah, demi kesejahteraan rakyat dan mencapai agenda mengangkat ekonomi negara

 

Isu gaji merupakan perkara pokok yang tidak boleh diabaikan lagi dan berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023, lebih 2 juta pekerja Malaysia masih berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan. 

 

Situasi ini lebih membimbangkan buat golongan muda antara umur 20 hingga 24 tahun di mana gaji penengah mereka hanyalah RM1,682 sebulan. 

 

Bagi kebanyakan pekerja Malaysia, gaji hanya akan meningkat kepada RM3,500 pada paras tertinggi sekitar umur 40 hingga 49 tahun sepanjang kerjaya mereka. - DagangNews.com