CCA Kerajaan Sabah, Petronas mercu tanda pembangunan industri minyak dan gas – PM | DagangNews Skip to main content

CCA Kerajaan Sabah, Petronas mercu tanda pembangunan industri minyak dan gas – PM

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Bakke Salleh menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara Kerajaan Negeri Sabah dengan Petronas di Menara Kinabalu, di Kota Kinabalu, hari ini.

 

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Dis - Permuafakatan dicapai antara Kerajaan Sabah dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menerusi perjanjian kolaborasi komersial (CCA) disifatkan mercu tanda pembangunan industri minyak dan gas di negeri berkenaan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, CCA yang ditandatangani di Kota Kinabalu hari ini akan memberi kesan limpahan ekonomi yang lebih menyeluruh di Sabah.

 

Beliau berkata, perjanjian yang dimeterai juga akan membolehkan Sabah memainkan peranan lebih besar dalam mengembangkan industri minyak dan gas melalui usaha sama erat dengan Petronas.

 

Beliau berkata, ia juga bakal membuka peluang perniagaan lebih meluas kepada syarikat-syarikat tempatan untuk berkecimpung dalam industri tersebut.

 

“Pada masa sama, Petronas akan terus memainkan peranan sebagai syarikat petroleum milik negara dengan kuasa penuh dalam mengawal selia pembangunan industri minyak dan gas secara menyeluruh selaras dengan undang-undang negara.

 

“Permuafakatan yang berjaya dicapai sesungguhnya melambangkan komitmen kerajaan Persekutuan bekerjasama dengan Kerajaan Sabah bagi memastikan pembangunan yang inklusif agar manfaat pembangunan negara dapat dinikmati bersama secara lebih adil dan saksama,” katanya dalam satu  kenyataan hari ini. - DagangNews.com