CCK jual 40% saham PT Adilmart kepada Creador | DagangNews Skip to main content

CCK jual 40% saham PT Adilmart kepada Creador

CCK Consolidated Holdings Berhad - Gambar hiasan dari laman web rasmi CCK
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Sept - CCK Consolidated Holdings Bhd menjual 40% sahamnya dalam anak syarikatnya di Indonesia, PT Adilmart kepada Creador. 

 

CCK berkata, perkongsian strategik bersama firma ekuiti itu bertujuan bagi mempercepatkan pertumbuhan dan pengembangan PT Adilmart, jenama makanan yang berkembang pesat di Indonesia.

 

Mengkhususkan diri dalam pengeluaran makanan sejuk beku, PT Adilmart telah muncul sebagai pemain utama di Indonesia, menawarkan pelbagai produk sejuk beku seperti sosej, nugget, burger dan bakso di bawah jenama Jofrans, Chop Chop dan Hoho.

 

Dengan kemudahan pembuatan yang terletak di Cikupa dan Pontianak, PT Adilmart telah membina tapak kukuh di Kalimantan dan Jawa Tengah. 

 

Ia juga merancang untuk mengembangkan kapasiti pengeluarannya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

 

Pengarah Urusan Kumpulan CCK, John Tiong Chiong Hiiung berkata, kerjasamanya dengan Creador sejajar dengan visinya dalam pertumbuhan masa depan PT Adilmart.

 

“Dengan kepakaran Creador dan kehadiran jenama kami disokong oleh rangkaian pengedaran tempatan kukuh, kami percaya perkongsian ini akan meningkatkan kapasiti kami bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk makanan pengguna sejuk beku di Indonesia.

 

“Pentauliahan kemudahan pengeluaran ketiga kami yang akan datang akan menyokong lagi strategi pertumbuhan kami, mengembangkan jejak dan liputan pengedaran PT Adilmart ke pasaran utama lain di Indonesia,” ulas beliau. - DagangNews.com