KUALA LUMPUR 15 Julai - Persatuan Digital Malaysia (MDA) mengumumkan Eileen Ooi, Ketua Pegawai Eksekutif Omnicom Media Group Sdn Bhd dan Ketua Pegawai Operasi REV Media Group, Nicholas Sagau, sebagai presiden dan naib presiden pada Mesyuarat Agung Tahunan baru-baru ini.
Ooi, dalam satu kenyataan berkata, “Saya sangat teruja dan amat berbesar hati dipilih sebagai presiden MDA bagi sesi penggal kedua.
“Saya benar-benar menikmati perjalanan saya dengan MDA dan komited untuk terus berkhidmat kepada komuniti dan sokongan dalam pertumbuhan industri kami.
“Pelantikan itu adalah bukti keyakinan industri terhadap impak dan sokongan MDA dalam memacu ekonomi digital ke hadapan dan peranan Kumpulan Media Omnicom sebagai wakil keperluan syarikat dan pengiklan dalam digital.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan seluruh pemegang jawatan terpilih MDA, ahli majlis dan rakan kongsi strategik,” ujarnya.
Acara itu turut menyaksikan pelantikan Ketua Pegawai Perniagaan Star Media Group, Lydia Wang sebagai Setiausaha dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Tan Lee Chin (strategi kumpulan dan kandungan) MCIL Malaysia sebagai bendahari.
Ahli majlis yang dipilih ialah 16TWO Communication Labs Sdn Bhd, Astro Media Solutions Sdn Bhd, FCB Sdn Bhd, Dentsu Holdings (M) Sdn Bhd, GroupM Malaysia, iMedia Asia Sdn Bhd, IPG Mediabrands Sdn Bhd, Nuffnang Sdn Bhd dan Petroliam Nasional Bhd.
Sagau berbesar hati dan berterima kasih atas kepercayaan industri dalam memilih REV Media sebagai naib presiden MDA.
“Pelantikan ini membuktikan keyakinan industri terhadap keupayaan kami menerajui industri penerbit media digital melalui cabaran yang ditimbulkan oleh prospek ekonomi semasa dipengaruhi oleh pelbagai faktor.
"Saya tidak sabar bekerjasama rapat dengan majlis dipilih industri kami, pemegang jawatan dan pihak berkepentingan bagi memacu inovasi dan pertumbuhan," katanya.- DagangNews.com