KUALA LUMPUR 25 Julai - CGS-CIMB Research berpandangan positif terhadap langkah 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad melupuskan pegangan dalam Caring Pharmacy dan menggunakan hasil yang diraih bagi mengembangkan perniagaan kedai serbanekanya.
Firma itu berkata, pengembangan itu memberi tumpuan kepada penambahan cawangan 7 Cafe yang mampu menjana hasil 1.8 kali lebih tinggi berbanding kedai 7-Eleven biasa.
Katanya, kumpulan itu menyasarkan pembukaan 50 kedai 7 Cafe baharu dan membaik pulih lebih 50 kedai sedia ada kepada format 7 Cafe di dalam dan di luar Lembah Klang pada tahun ini.
"Cawangan-cawangan itu dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2023 dan ia membolehkan kumpulan itu mengukuhkan lagi tawaran makanan segar dan meraih margin keuntungan lebih tinggi daripada kedai baharu itu bermula FY24.
"Langkah itu akan membawa kepada campuran produk lebih baik selain memberi pendapatan lebih baik kepada kumpulan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
BACA JUGA: 7-Eleven sah lepaskan pegangan ekuiti Caring Pharmacy kepada BIG Pharmacy
Langkah penjualan itu merangkumi pengambilalihan semua anak syarikat dan syarikat bersekutu Caring yang memiliki dan megendalikan perniagaan farmasi runcit di bawah jenama Caring, Georgetown dan Wellings serta pembuatan selain pengedaran produk dalaman di Malaysia.
Tawaran itu juga merangkumi pengambilalihan harta intelek yang dimiliki Caring Group dan perniagaan Indonesia merangkumi semua jenama di bawah Caring Group.
Firma itu menjangkakan jualan yang lebih baik menerusi cawangan 7 Cafe namun kumpulan itu berdepan risiko termasuk kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan.
Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM2.10 sesaham. - DagangNews.com