CGS-CIMB positif terhadap prospek Bank Islam didorong pengembangan pulangan ke atas ekuiti | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB positif terhadap prospek Bank Islam didorong pengembangan pulangan ke atas ekuiti

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Julai - CGS-CIMB Research positif terhadap prospek Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) didorong pemulihan dalam margin pembiayaan bersih (NFM) pada suku kedua hingga suku keempat tahun ini selain pengembangan pulangan ke atas ekuiti (ROE).

 

Firma itu berkata, berdasarkan jerayawara anjuran kumpulan itu bermula 21 Jun hingga 10 Julai lalu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muazzam Mohamed dan Ketua Pegawai Kewangan, Azizan Abd. Aziz telah bertemu dengan 31 pelabur daripada lapan organisasi pengurusan aset.

 

Katanya, kumpulan itu menyasarkan pengembangan ROE daripada 7.5% pada FY22 kepada 8% pada FY23 dan 9% hingga 10% dalam tempoh tiga tahun akan datang.  

 

"Pihak kami bersetuju dengan pandangan bank walaupun menjangkakan pengembangan ROE yang lebih kecul dalam tigatahun akan datang kepada 8.8% pada FY25.

 

"Kami melihat potensi penambahbaikan dalam nisbah kos kepada pendapatan dan peningkatan dalam nisbah pembayaran dividen untuk pengembangan ROE," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu mengurangkan unjuran pendapatan pembiayaan bersih FY23 hingga FY25 sebanyak 4%, sejajar dengan panduan bank untuk NFM yang lebih rendah pada FY23 dan meningkatkan asas saham andaian daripada 2.21 bilion kepada 2.27 bilion untuk mengambil kira saham baharu yang diterbitkan di bawah pelan pelaburan semula dividennya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran RM2.40 sesaham.

 

"Prospek jangka terdekat juga cerah memandangkan jangkaan pemulihan bank dalam NFM dan kos kredit yang stabil (jika tidak lebih rendah) pada suku kedua hingga suku keempat tahun ini. 

 

"Bagaimanapun mereka berdepan risiko termasuk kelembapan drastik dalam pertumbuhan pembiayaan dan peningkatan lagi dalam kos dana," katanya. - DagangNews.com