CGS-CIMB Research unjur defisit fiskal negara cecah 5% menjelang akhir 2023 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB Research unjur defisit fiskal negara cecah 5% menjelang akhir 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Ogos - CGS-CIMB Research mengunjurkan defisit fiskal negara mencecah 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini selain menetapkan sasaran 3.2% menjelang 2025.

 

Firma penyelidikan itu berkata, data fiskal untuk Jun 2023 menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding sebelum ini dan pada masa sama menunjukkan kutipan hasil juga lebih baik.

 

Katanya, data perbelanjaan setakat ini kekal selaras dengan unjuran pihaknya dan mengakibatkan defisit fiskal dicatatkan pada paras 2.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk separuh pertama 2023.

 

"Sekiranya keadaan itu berterusan, kemungkinan defisit fiskal datang lebih baik daripada sasaran kerajaan sebanyak 5% daripada KDNK untuk tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, majoriti prestasi kutipan hasil ini berpunca daripada minyak & gas manakala kutipan daripada Cukai Pendapatan Petroleum (PITA) setakat suku pertama 2023 ialah 28.2% daripada belanjawan tahunan, melepasi purata sejarah sekitar 16%.

 

Begitu juga, kutipan daripada Royalti Petroleum pada masa yang sama adalah kukuh pada 84.4% daripada belanjawan tahun itu.

 

CGS-CIMB Research berkata, kutipan cukai korporat juga positif walaupun selepas mengambil kira sasaran kutipan cukai korporat yang sangat optimistik tahun ini seperti yang dinyatakan dalam Bajet 2023.

 

"Beberapa faktor menyokong ini, termasuk peningkatan asas bercukai memandangkan program pendedahan sukarela yang dilakukan pada masa lalu dan strategi audit yang semakin aktif," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, perbelanjaan boleh meningkat pada separuh kedua 2023 memandangkan pengumuman subsidi tarif elektrik, subsidi harga ayam & telur dan pemberian tunai baharu.

 

Katanya, dengan mengandaikan keadaan fiskal menjadi lebih baik, kerajaan mungkin mempunyai tiga pilihan strategik termasuk defisit fiskal yang lebih rendah daripada anggaran 5.0% daripada KDNK.

 

Lebih banyak ruang fiskal mengembang jika kerajaan memutuskan untuk mengekalkan defisit sasaran dan situasi fiskal yang lebih baik mengurangkan keperluan untuk pengenalan cukai utama dalam Bajet 2024. - DagangNews.com