Dagangan 7-Eleven Malaysia digantung sementara bagi menunggu pengumuman 'urus niaga penting' | DagangNews Skip to main content

Dagangan 7-Eleven Malaysia digantung sementara bagi menunggu pengumuman 'urus niaga penting'

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Julai - Dagangan saham 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad akan digantung sementara dari 2.30 petang hingga 5 petang hari ini atas permintaan syarikat, sementara menunggu pengumuman "urus niaga yang sangat penting".

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, pengendali kedai serbaneka itu mengumumkan bahawa Bursa Securities telah meluluskan permintaannya.

 

Terdahulu pada hari ini, The Edge melaporkan, sumber menyatakan bahawa rangkaian farmasi runcit yang disokong Creador BIG Pharmacy Healthcare Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian untuk membeli Caring Pharmacy Group Berhad daripada 7-Eleven Malaysia menerusi urus niaga bernilai RM900 juta.

 

"7-Eleven Malaysia telah melengkapkan perjanjian untuk penjualan Caring Pharmacy. 

 

"Pengumuman mengenai urus niaga itu dijangka dibuat seawal hari ini,” kata sumber tersebut.

 

Satu lagi sumber berkata, BIG Pharmacy merupakan pembida ketiga tertinggi bagi Caring Pharmacy, muncul sebagai pemenang selepas rundingan 7-Eleven Malaysia dengan dua lagi pembida utama iaitu Carlyle Group dari Amerika Syarikat (AS) dan CVC Capital Partners dari Luxembourg gagal dalam rundingan itu. 

 

Sebelum penggantungan dagangan, harga saham 7-Eleven Malaysia ditutup tujuh sen atau 3.29% lebih tinggi pada RM2.20, menilai syarikat itu pada RM2.58 bilion. - DagangNews.com