Dasar dan rangka kerja kawal selia kukuh diperlukan bagi realisasi NETR - KPMG | DagangNews Skip to main content

Dasar dan rangka kerja kawal selia kukuh diperlukan bagi realisasi NETR - KPMG

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Dasar dan rangka kerja kawal selia yang kukuh diperlukan bagi merealisasikan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) Malaysia, kata KPMG.

 

Ketua Infrastruktur, Strategi dan Operasi di Malaysia, Abhishek Kumar berkata, bagi memastikan kemajuan sebenar mengikut pelan NETR, ia pembaharuan infrastruktur serta perundangan pada skala nasional. 

 

"Kerajaan bertanggungjawab memperkenalkan rangka kerja dasar dan kawal selia yang kukuh bagi mewujudkan medan yang adil bagi memupuk iklim pelaburan yang menggalakkan untuk membiayai dan melaksanakan inisiatifnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Abhishek berkata, NETR adalah isyarat terpenting mengenai komitmen kerajaan Malaysia untuk mencapai aspirasi negara bagi pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

 

Beliau berkata, bilangan agensi kerajaan dan badan kawal selia yang lebih luas terlibat dalam penyediaan pelan hala tuju adalah satu langkah ke hadapan dalam kerjasama progresif.

 

Fasa 1 NETR adalah berdasarkan dokumen Dasar Tenaga Negara 2022 hingga 2040, terdiri daripada 10 projek pemangkin utama yang dipilih berdasarkan inisiatif berterusan merentas pelbagai pihak berkepentingan di Malaysia.

 

Bagi mencapai sasaran kapasiti 70% tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2050, NETR membuka peluang pelaburan antara RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang 2050, kata kenyataan itu, lapor Bernama.

 

Abishek berkata, sebagai permulaan, 10 projek pemangkin utama yang digariskan dalam Fasa 1 NETR dijangka menarik pelaburan besar untuk mempercepatkan peralihan tenaga Malaysia.

 

"Sebagai contoh, projek zon RE Khazanah Nasional Berhad berpotensi menarik berbilion-bilion pelaburan awam-swasta dan menggariskan komitmen Malaysia dalam mempercepatkan peralihan tenaga.

 

"Bagaimanapun, bagi merealisasikan sepenuhnya cita-cita yang dibayangkan dalam NETR memerlukan pendekatan bersepadu daripada masyarakat tempatan dan antarabangsa untuk melaksanakan inovasi dan inisiatif selanjutnya," katanya. - DagangNews.com