KUALA LUMPUR 13 Julai - Dayang Enterprise Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Dayang Enterprise Sdn. Bhd. dianugerahkan pindaan dan lanjutan kontrak bagi Penyediaan Perkhidmatan Perolehan, Pembinaan, Pemasangan, Sambungan dan Pentauliahan untuk Kempen Penggerudian Siprod Minyak ROC (2019 – 2023) daripada ROC Oil (Sarawak) Sdn. Bhd.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, nilai kontrak tersebut adalah berdasarkan arahan kerja yang dikeluarkan ROC sepanjang tempoh kontrak.
"Tempoh lanjutan kontrak itu adalah lebih kurang setahun lima bulan dan 15 hari bermula 17 Julai ini hingga 31 Disember 2024," katanya.
Kontrak itu tidak akan memberi kesan ke atas modal terbitan syarikat dan dijangka menyumbang kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kontrak.
Faktor risiko yang mempengaruhi kontrak termasuk risiko pelaksanaan seperti ketersediaan tenaga kerja mahir dan bahan, perubahan harga bahan, perubahan dalam keadaan politik, ekonomi dan peraturan.
"Kumpulan hendaklah memastikan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan dan operasi dalam pelaksanaan keperluan kontrak," katanya. - DagangNews.com