NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 29 Nov - Dewan Belia India Malaysia (DBIM) akan menghimpunkan seramai 70 perwakilan belia India terdiri daripada pelbagai latar belakang dan ideologi politik bagi membincangkan dan meluluskan usul-usul berkaitan dasar negara, undang-undang melibatkan masyarakat itu selama tiga bulan bermula November ini hingga Januari 2021.
Inisiatif itu dianjurkan oleh sebuah sekretariat bebas bersama dengan Undi18 sebagai rakan penganjur selain mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Architect of Diversity (AOD), Projek 57, Gerakan Belia Se-Punjabi Malaysia (GBSM) dan Enlight Malaysia.
Program yang diadakan secara hibrid itu akan disertai belia India berusia 16 hingga 30 tahun bagi menyalurkan pendapat dan cadangan mengenai dasar dan politik negara.
Pengarah DBIM, Kiran Raj Sathivel berkata, program itu akan disertai seramai lapan pemimpin serta aktivis masyarakat India termasuk P. Prabakran, Tharma Pillai, Kasthuriraani Patto, Sivarraajh, Sharan Raj dan Dr.Thanussha Francis Xavier.
"Program ini juga akan memfokuskan pembentangan usul bagi lima kementerian tertentu termasuk Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pendidikan semasa persidangan yang akan diadakan secara maya.
"Program ini diadakan susulan daripada kesedaran proses demokrasi yang kurang memberangsangkan dan kelesuan politik dalam kalangan anak muda.
"Anak muda harus didedahkan kepada proses demokrasi dan pentadbiran negara demi pembangunan masyarakat sejagat," kata Kiran Raj dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India khususnya golongan keluarga berpendapatan rendah (B40) juga tiada penambah baikan akibat perangkaan dasar serta pelan pembangunan yang tidak selaras dengan kaedah pelaksanaan dan pemerkasaan ekonomi.
"Sekretariat DBIM ingin mengubah landskap politik menerusi program ini dengan mempraktikkan kaedah pelaksanaan bipartisan demi memupuk sikap kepimpinan dan kesedaran politik dalam kalangan belia India di Malaysia," katanya.-Dagangnews.com