KUALA LUMPUR 12 Sept - DC Healthcare Holdings Berhad diiktirafkan dalam Malaysia Book of Records sebagai rangkaian klinik estetik pertama yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Penyedia penjagaan kesihatan estetik itu menampil dirinya di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan modal pasaran terbesar pada RM214 juta.
DC Healthcare meraih pengiktirafan itu dengan melancarkan kempen sempena ulang tahun kelapannya.
Rangkaian klinik itu berkata, kempen itu mencerminkan perjalanan inovasi dan komitmen berterusan untuk meningkatkan kesejahteraan dan keselamatan pelanggan.
"Sambutan ulang tahun kelapan kami bukan sahaja memperingati pencapaian masa lalu tetapi juga untuk maju ke hadapan.
"Dengan keselamatan sebagai nilai teras, kami akan terus menerajui industri dengan memastikan piawaian penjagaan tertinggi di semua klinik.
"Komitmen ini mengukuhkan dedikasi terhadap keselamatan dan kepercayaan pelanggan kami," ulasnya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, DC Healthcare terus mengembangkan perkhidmatan dan mendukung standard kecemerlangan perubatan tertinggi.
Pengarah Urusan DC Healthcare, Dr. Chong Tze Sheng berkata, semasa sambutan itu, klinik telah memperbaharui komitmennya terhadap keselamatan dan kecemerlangan.
"Ini bagi memastikan penjagaan kesihatan estetik bukan sekadar perkhidmatan, tetapi keperluan untuk meningkatkan kesejahteraan.
Sementara itu, DC Healthcare berkata pencapaian itu bukan sahaja meningkatkan keterlihatannya tetapi juga mengesahkan hala tuju strategiknya.
"Dengan menetapkan piawaian industri, Kumpulan menyasar untuk meluaskan kepimpinan pasarannya menjadikan penjagaan kesihatan estetik mudah diakses dan penting, mengubahnya daripada kemewahan kepada keperluan," ulasnya. - DagangNews.com