Dell Technologies pasang panel solar terbesar dunia di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Dell Technologies pasang panel solar terbesar dunia di Malaysia

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jun - Dell Technologies mengumumkan pelaksanaan pemasangan panel solar di lokasi terbesarnya di seluruh dunia di Pusat Pelanggan Dell Technologies Asia Pasifik yang terletak di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

 

Menurut Dell Technologies seperti dilapor Bernama, sistem solar fotovoltaik bernilai RM2.25 juta itu adalah yang pertama di Asia Tenggara bagi kemudahan Dell Technologies.

 

“Sistem bumbung dengan kapasiti 700 kilowatt peak (kWp) itu merangkumi 1,590 panel yang amat efisien yang direka untuk menghasilkan hampir 1,000 MWh elektrik boleh diperbaharui setiap tahun.

 

“Ia akan menggerakkan lebih 25% daripada barisan pengeluaran di kemudahan 24 jam itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dell Technologies berkata, pemasangan itu ia akan dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau tahunan iaitu kira-kira 650 tan bagi kemudahan itu.

 

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Asia Selatan dan Pengarah Urusan bagi Malaysia, Pang Yee Beng berkata, Dell Technologies komited untuk mengurangkan pelepasan di semua kemudahannya, rantaian bekalan dan intensiti tenaga bagi produknya untuk dekad selanjutnya dan mencapai sifar pelepasan menjelang 2050.

 

“Pemasangan tenaga solar ini adalah kunci untuk kita mencapai matlamat ini dan kami berbangga sebagai peneraju di Malaysia dengan pemasangan tenaga solar di lokasi terbesar kami di seluruh dunia untuk mengurangkan pelepasan dan mewujudkan impak alam sekitar yang positif,” katanya. - DagangNews.com