Dell & USM komited hasilkan graduan berkemahiran, inovatif bagi industri | DagangNews Skip to main content

Dell & USM komited hasilkan graduan berkemahiran, inovatif bagi industri

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Sept. -  Dell Technologies Malaysia (Dell) dan Universiti Sains Malaysia (USM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dua tahun bagi usahasama industri-akademik untuk menghasilkan lebih ramai graduan yang bersedia dalam industri. 

Naib Presiden Kanan Asia Selatan dan Pengarah Urusan Malaysia, Dell Technologies, Pang Yee Beng berkata, menerusi perjanjian berkenaan, Dell dan Universiti Sains Malaysia (USM) akan menyediakan platform untuk mempersiap dan melengkapkan pelajar universiti berkenaan dengan kebolehpasaran pekerjaan di bawah Program USM LIFE.

Katanya, program berkenaan merupakan inisiatif akademik baharu yang menyokong pembelajaran secara kreatif dan melalui pengalaman. 

"Di Dell Technologies, kami yakin dapat mewujudkan kesan positif dan berkekalan menggunakan jangkauan, teknologi dan keupayaan bakat..Itu sebabnya kami memulan pelan 'Progress Made Real 2030', yang menggariskan matlamat dan strategi impak sosial kami. 

"Sama pentingnya dengan penyelesaian teknologi yang dihasilkan di Dell, komited untuk membantu Malaysia membina tenaga kerja yang bersedia dan berkemahiran untuk memenuhi keperluan masa depan digital negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu Naib Canselor USM, Professor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, pihaknya berbesar hati terpilih di bawah program USM LIFE, yang merupakan program pertama seumpamanya yang mendedahkan pelajar dengan pelbagai subjek seperti genomik dan gerontologi, pemikiran inovatif (komputer dan reka bentuk), dan banyak lagi.

"Saya berharap dengan sokongan Dell, kami akan dapat memperkayakan dan melengkapkan para pelajar dengan pelbagai pengetahuan, set kemahiran, pendedahan serta  kebijaksanaan yang diperlukan. 

"Ini sangat penting dalam mempersiapkan para pelajar untuk menyesuaikan diri dan menjadi inovatif pada masa-masa yang mencabar ini sebelum mereka memasuki pasaran pekerjaan, ”tambahnya.-DagangNews.com