KUALA LUMPUR 29 Julai - Digital Nasional Berhad (DNB) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) menandatangani perjanjian kerjasama dengan tujuan untuk memperkukuh keselamatan rangkaian 5G Malaysia daripada ancaman siber.
Perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan kerjasama itu juga telah dirasmikan di My5G Portal milik DNB hari ini.
Menurut kenyataan media hari ni, DNB berkata kerjasama yang melibatkan pembangunan panduan keselamatan 5G itu, bertujuan untuk industri telekomunikasi dan berfungsi sebagai prinsip panduan asas keselamatan 5G.
Melalui perjanjian kerjasama itu, DNB dan CSM juga akan menubuhkan Pusat Ujian Keselamatan Siber 5G Nasional, yang akan berfungsi sebagai platform untuk pemain industri mengenal pasti kelemahannya, memastikan mereka pematuhan kepada piawaian dan mengesahkan langkah-langkah keselamatan dalam ruang digital.
Selain itu, kedua-kedua syarikat itu akan bertukar maklumat ancaman bagi memperkukuhkan lagi keupayaan negara dalam menangani ancaman siber.
Berucap pada majlis itu, Gobind berkata, rangkaian 5G adalah salah satu sektor Infrastruktur Maklumat Kritikal Nasional Malaysia (NCII), yang memberi impak kepada pertahanan negara, kestabilan ekonomi, fungsi kerajaan dan rutin sosial.
“Dalam dunia digital yang semakin berkembang, ruang digital telah menjadi penting dalam kehidupan harian kita, memacu inovasi, pertumbuhan ekonomi, dan kemajuan masyarakat," ujarnya.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan sebalik kemajuan itu, ada juga cabaran yang ketara, terutamanya dalam bidang keselamatan siber.
“Keselamatan siber adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan penggabungan sumber, maklumat, dan kepakaran. Dengan memperkukuh perikatan dan kerjasama, kita dapat meningkatkan keupayaan kolektif kita untuk mengesan, mencegah, dan bertindak balas terhadap ancaman siber,” ulasnya.
Ketua Pegawai Operasi DNB, Nasution Mohamed menekankan keperluan penting untuk memastikan ketahanan ekosistem 5G di Malaysia serta mewujudkan ekosistem siber yang selamat.
"Dengan peningkatan usaha pendigitalan sektor industri, komersial dan awam melalui 5G, kerjasama DNB dengan CyberSecurity Malaysia dalam penggabungan sumber dan perkongsian kepakaran, merupakan sebahagian penting daripada usaha tersebut.
“Kami berharap kerjasama dengan CSM, dan juga dengan organisasi lain akan membangunkan ekosistem keselamatan siber 5G nasional yang kukuh,” ulas beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr. Amirudin Abdul Wahab juga berkata Penubuhan Pusat Ujian Keselamatan Siber 5G Nasional adalah penting untuk meningkatkan keupayaan kita dalam memperkuatkan keselamatan rangkaian 5G.
“Dengan menyediakan kemudahan untuk menguji dan memperbaiki langkah-langkah keselamatan siber khususnya, rangkaian ini.
“Oleh itu, saya percaya kerjasama ini akan membawa kepada pembangunan panduan keselamatan yang kukuh, penubuhan pusat ujian khusus, dan pertukaran maklumat ancaman penting dalam kalangan pakar, dan seterusnya melindungi masa depan digital rangkaian 5G untuk pengguna Malaysia,” kata beliau.- DagangNews.com