KUALA LUMPUR 13 April - 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd telah melantik bekas ketua pegawai kewangan kumpulan (CFO) Proton Holdings Bhd, Dr Mazatul 'Aini Shahar Abdul Malek Shahar ke lembaga pengarahnya sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif berkuat kuasa 12 April 2022.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, pengendali kedai serbaneka itu berkata, Dr Mazatul 'Aini juga memegang jawatan pengarah dalam TH Heavy Engineering Bhd dan IJN Holdings Sdn Bhd.
7-Eleven berkata beliau adalah CFO kumpulan Proton sebelum penggabungan yang terakhir dengan Zhejiang Geely Holdings Group Co Ltd, serta CFO Nationwide Express Courier Services Bhd sebelum berkhidmat di Proton.
“Dr Mazatul 'Aini mempunyai 26 tahun pengalaman praktikal dalam perbankan dan kewangan Islam, pengumpulan dana, transformasi pengurusan, kewangan korporat dan kerja-kerja nasihat.
''Beliau juga pernah berkhidmat di Aseabankers Malaysia Bhd dan Bank Pembangunan Malaysia Bhd. setelah memulakan kerjayanya dengan Arthur Anderson & Co pada 1995 selepas menamatkan pengajian dari Universiti Nottingham, UK," tambah kumpulan itu. - DagangNews.com