ECRL Terengganu capai kemajuan 27.86 peratus | DagangNews Skip to main content

ECRL Terengganu capai kemajuan 27.86 peratus

KUALA TERENGGANU 14 April - Kerja-kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu, mencapai kemajuan sebanyak 27.86 peratus setakat Mac lalu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

 

Menurut beliau, ketika ini perjalanan projek berimpak tinggi itu berlangsung dengan lancar dan mengikut jadual ditetapkan, hasil sokongan serta komitmen baik daripada kerajaan negeri.

 

“Proses pengambilan tanah untuk pembinaan jajaran utama ECRL dari Setiu ke Kemaman telah selesai sepenuhnya daripada segi pewartaan, sementara proses perbicaraan pula sedang berlangsung di daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

 

“Alhamdulillah, perkembangan projek sangat baik daripada semua aspek, dan kita amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk melicinkan lagi perjalanan projek,” katanya pada Majlis Iftar Bersama MRL Sdn Bhd di sini, malam tadi, Bernama melaporkan. 

 

Selain itu beliau berkata, pembinaan enam stesen ECRL iaitu di Jertih, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu, Kemasik, Dungun dan Chukai, juga dijadualkan bermula pada suku keempat tahun ini.

 

Katanya pembinaan stesen Jertih, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu dan Kemasik adalah khas untuk kegunaan penumpang, manakala Dungun dan Chukai pula berfungsi membawa muatan kargo.


 

Datuk Seri Darwis Abdul Razak
Datuk Seri Darwis Abdul Razak

 


“Kita jangka kerja pembinaan stesen akan siap pada pertengahan 2024, dan lepas itu akan ada kerja-kerja sistem, diikuti dengan proses ujian sebelum operasi penuh
ECRL pada Januari 2027,” katanya. - DagangNews.com