Edotco, MDEC dan Boost bekerjasama pacu ekonomi digital Malaysia | DagangNews Skip to main content

Edotco, MDEC dan Boost bekerjasama pacu ekonomi digital Malaysia

(Barisan hadapan, dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon; Pengarah Perniagaan Malaysia, EDOTCO, Gayan Koralage.(Barisan belakang, dari kiri)Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EDOTCO, Adlan Tajudin, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan CFO Kumpulan Axiata, Nik Rizal Kamil.

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Edotco Malaysia bekerjasama dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) serta Boost Holdings Sdn Bhd bagi memacu ekonomi digital Malaysia melalui pembangunan infrastruktur digital dan inisiatif rangkuman kewangan.

 

Edotco dan Boost hari ini memperkenalkan inisiatif "Akses Kredit Pemilik Tanah Menara" yang bakal memberikan manfaat kepada lebih 2,200 individu dan pemilik tanah persendirian melalui perjanjian penyewaan sedia ada dengan Edotco.

 

Inisiatif itu menyediakan pemerkasaan dan kestabilan kewangan melalui akses mudah wang tunai sekaligus memberi manfaat kepada mereka yang tidak mempunyai akaun bank atau tidak mempunyai akses perkhidmatan bank yang penuh.

 

Pada fasa pertama kerjasama itu, ia bertujuan untuk menyokong pemilik tanah menara perusahaan kecil dan sederhana (PKS), manakala dalam beberapa bulan akan datang, inisatif itu akan diperluaskan kepada pemilik yang lain di bawah fasa kedua.

 

Menerusi perkongsiannya dengan MDEC, Edotco akan menawarkan khidmat nasihat pakar dan kadar keutamaan untuk penyelesaian infra digital kepada syarikat berstatus Malaysia Digital (MD) dalam usaha memupuk sokongan ekosistem dan menggalakkan pertumbuhan digital.

 

Menteri Digital, Gobind Singh Deo yang menghadiri majlis menandatangani perjanjian itu, berkata memorandum persefahaman (MoU) MDEC dengan Edotco akan mempercepatkan pertumbuhan innovator digital Malaysia bagi memanfaatkan semua rakyat Malaysia dan merapatkan jurang kedudukan bandar-luar bandar Malaysia sebagai peneraju era digital.

 

"'Akses Kredit Pemilik Tanah Menara' merupakan inisiatif pertama seumpamanya bukan sahaja memberikan faedah kewangan tetapi juga meningkatkan celik kewangan dalam kalangan pemilik tanah. 

 

“Ia sejajar rapat dengan matlamat kerajaan bagi mempromosikan rangkuman dan penyertaan digital, terutamanya dalam perkhidmatan kewangan,” ujarnya.

 

Gobind berkata, sehingga Jun 2024, pelancaran 5G telah mencapai liputan 81.8% di kawasan berpenduduk, dengan kadar penggunaan 43.6% perkhidmatan 5G dan 14.8 juta pelanggan.

 

Walaupun rangkaian 5G tersedia di kebanyakan pusat bandar, Gobind menekankan bahawa masih terdapat wilayah dalam negara dengan liputan yang tidak mencukupi.

 

“Langkah kami seterusnya adalah mempercepatkan penempatan di luar Lembah Klang bagi memastikan kesalinghubungan 5G di seluruh negara.

 

"Dengan berbuat demikian, kami boleh merapatkan jurang digital dan menyediakan setiap rakyat Malaysia peluang yang ditawarkan oleh infrastruktur digital mantap," ujarnya. - DagangNews.com