NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 12 Nov - Ekonomi negara berada pada landasan yang tepat ke arah pemulihan, berdasarkan pembukaan semula lebih daripada 90% sektor ekonomi, dan kebanyakan aktiviti sosial.
Menteri Kewangan,Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemulihan tersebut disokong oleh kadar vaksinasi yang tinggi dengan hampir 76% daripada keseluruhan populasi telah lengkap divaksin atau 95% orang dewasa dan 78% remaja.
Katanya, setakat ini, lebih 730,000 dos penggalak telah diberi kepada petugas barisan hadapan serta kumpulan mudah terjejas yang memberikan perlindungan tambahan kepada sistem penjagaan kesihatan sekiranya berlaku gelombang baharu kes COVID-19 dan VOC yang lebih berbahaya.
“Dengan momentum pemulihan dilihat dalam tempoh sembilan bulan pertama 2021, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada pada landasan yang kukuh untuk mencapai pertumbuhan antara 3% dan 4% pada 2021 dan terus berkembang antara 5.5% dan 6.5% pada 2022, selari dengan unjuran Tabung Kewangan Dunia (IMF) pada 6.0% dan Bank Dunia pada 5.8%.
"Pertumbuhan akan dipacu terutamanya oleh Bajet 2022 yang mengembang, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial berikutan kadar vaksinasi yang tinggi, penyambungan semula projek dengan kesan pengganda tinggi dan permintaan luar yang kukuh terutamanya daripada rakan dagang utama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tengku Zafrul berkata, meskipun berdepan cabaran sepanjang suku ketiga tahun ini, pelbagai petunjuk ekonomi utama menunjukkan momentum pemulihan yang kukuh terutamanya apabila negara memasuki suku keempat dan menuju ke tahun 2022.
"Ini termasuk penambah baikan dalam pasaran buruh dengan kadar pengangguran berkurang kepada 4.5% pada September serta lonjakan 24.7% dalam eksport dan peningkatan 11.6% dalam nilai jualan sektor pembuatan pada bulan yang sama.
"Tambahan pula, kita menyaksikan peningkatan pada kedua-dua indeks keyakinan perniagaan dan pengguna yang dipantau oleh MIER serta RM12.8 bilion pelaburan langsung asing (FDI) bersih pada suku ketiga 2021 menjadikan jumlah FDI bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini kepada lebih
RM30 bilion,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, sistem perbankan kekal kukuh dengan nisbah perlindungan mudah tunai merekodkan 154.4% pada September 2021 manakala nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih masing-masing mencatat 1.6% dan 1.0%.
Katanya, rizab antarabangsa kekal tinggi dengan jumlah sebanyak AS$116.1 bilion pada akhir Oktober 2021, cukup untuk membiayai 8.1 bulan import tertangguh dan bersamaan 1.3 kali hutang luar bagi jangka pendek.
Beliau memberitahu, pinjaman terkumpul kepada perniagaan meningkat sebanyak 2.4% pada suku ketiga 2021 (suku kedua 2021: 1.3%), disokong oleh kegunaan modal kerja yang tinggi dan peningkatan ini didorong subsektor perdagangan borong dan runcit, restoran dan hotel, serta sektor pembuatan berikutan penyambungan semula aktiviti ekonomi yang lebih meluas.
"FBMKLCI telah meningkat 2.2% pada suku ketiga 2021 dengan pelabur runcit menyumbang RM11.3 bilion dalam pelaburan bersih. Sementara itu, segmen unit amanah menerusi Nilai Aset Bersih meningkat sebanyak 3.5% kepada RM537.9 bilion pada akhir September 2021.
"Pasaran bon ringgit juga menyaksikan peningkatan keyakinan pelabur asing yang ketara terutamanya pegangan asing dalam bon kerajaan yang mencatatkan RM231 bilion atau bersamaan 25% daripada jumlah terkumpul bon kerajaan jangka panjang," katanya.-DagangNews.com