Eksekutif Pestech dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan salah guna dana anak syarikat | DagangNews Skip to main content

Eksekutif Pestech dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan salah guna dana anak syarikat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Julai - Pestech International Berhad mengesahkan bahawa eksekutif tertingginya dilepaskan serta dibebaskan daripada semua pertuduhan terhadap mereka berkuat kuasa serta-merta.

 

Pada awal tahun ini, eksekutif tertingginya didakwa atas tuduhan bersubahat dalam penyelewengan RM10.6 juta melibatkan anak syarikat kumpulan itu, Pestech Technology Sdn. Bhd.

 

Pestech berkata, pengerusi eksekutif, Lim Ah Hock dan pengarah urusan merangkap ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan ,Lim Pay Chuan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 27 Januari lalu.

 

Ah Hock dan Pay Chuan telah didakwa mengikut Seksyen 109, dibaca bersama Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang menyatakan bahawa mereka yang didapati bersalah melakukan penyelewengan boleh dipenjara sehingga lima tahun, sebat, dan/atau denda.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini, Pestech berkata, Ah Hock, Pay Chuan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pestech Technology, Paismanathan Govindasamy telah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam.

 

Govindasamy didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun, Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dan Seksyen 4(1)(b) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Akta Aktiviti Haram 2001.

 

Ketiga-tiga mereka disiasat atas empat pembayaran berjumlah RM10.6 juta kepada sebuah syarikat perunding. 

 

Pestech Technology didakwa membuat pembayaran untuk kerja yang tidak dibuat oleh syarikat perunding, dan Ah Hock dan Pay Chuan telah dituduh bersubahat dalam pembayaran itu. - DagangNews.com