KUALA LUMPUR 3 Ogos - Nilai emas terus mencecah paras tertinggi pada kadar RM270.57 bagi setiap gram.
Menurut Trading Economics, nilai itu didorong oleh sentimen kebimbangan dalam kalangan pelabur memandangkan kes COVID-19 kian meningkat.
Dalam masa sama, bank-bank pusat juga melaksanakan pakej rangsangan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, bagi mengurangkan kesan ekonomi yang terjejas.
“Emas pada bulan Julai menunjukkan prestasi terbaik sejak Februari 2016 dengan nilai lonjakan sebanyak 10% pada tempoh berkenaan,” jelas Trading Economics.
Harga emas naik RM0.61 berbanding semalam, RM269.96 setiap gram.
Emas paling banyak didagangkan di pasaran OTC London, pasaran niaga hadapan AS (COMEX) dan Shanghai Gold Exchange (SGE).
Dalam pada itu, setakat minggu lalu, ekonomi Amerika Syarikat (AS) merosot teruk pada suku kedua tahun ini.
Selain itu, nilai Dolar AS juga merudum susulan Presidennya, Donald Trump berhasrat untuk menangguhkan pilihan raya umum negara itu, yang sepatutnya berlaku pada November 2020.
Situasi itu antara pendorong kepada kenaikan harga emas berikutan pelabur berpusu-pusu membeli aset berkenaan.
Dalam pada itu, aset itu juga dijadikan sebagai persediaan kepada kemungkinan pelaksanaan perintah berkurung buat kali kedua di AS. - DagangNews.com