ES Sunlogy bakal disenaraikan di Pasaran Ace Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

ES Sunlogy bakal disenaraikan di Pasaran Ace Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR 8 Ogos - ES Sunlogy Bhd telah mengemukakan prospektus awal bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia yang difailkan di bursa semalam.

 

Kumpulan itu terlibat dalam perkhidmatan kejuruteraan elektrik dalam sistem pengagihan bekalan elektrik serta perkhidmatan bangunan kejuruteraan mekanikal.

 

Selain itu, kumpulan itu juga menyediakan perkhidmatan penjanaan dan penjualan tenaga boleh baharu (RE). 

 

IPO yang dicadangkan oleh ES Sunlogy terdiri daripada terbitan 140 juta saham dan menawarkan penjualan 70 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Daripada 140 juta saham itu, 35 juta saham baharu akan disediakan kepada rakyat Malaysia manakala 17.5 juta lagi saham baharu akan diperuntukkan kepada permohonan oleh pengarah dan pekerja yang layak.

 

Baki 87.5 juta saham baharu itu akan disediakan kepada pelabur bumiputera.

 

Kumpulan itu berkata, ia berhasrat untuk memulakan beberapa strategi  dalam tempoh 24 bulan akan datang dari tarikh penyenaraiannya.

 

“Ini termasuk membangunkan loji Fotovolta Suria Berskala Besar Selarong yang akan mempunyai kapasiti untuk mengeksport 29.99 megawatt ke grid utiliti. 

 

“Pembangunan itu akan melibatkan perbelanjaan modal dan pengurusan loji itu, masing-masing pada RM131.5 juta dan RM3.23 juta,” ujarnya. 

 

Kumpulan itu juga akan berusaha untuk mendapatkan lebih banyak projek solar serta meningkatkan pendapatannya daripada sektor RE. 

 

Sementara itu, ES Sunlogy juga akan meningkatkan bahagian pasarannya dalam industri kejuruteraan mekanikal dan elektrik tempatan dengan mengeluarkan tender bagi projek yang berkaitan dengan jumlah kontrak besar.- DagangNews.com