KUALA LUMPUR 17 Julai - Etihad Airways bersama Batik Air Malaysia melancarkan perkongsian kod penerbangan yang menawarkan sambungan perjalanan ke lima destinasi di Malaysia.
Perkongsian kod penerbangan yang ke-38 buat syarikat penerbangan nasional Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu turut membabitkan tiga destinasi antarabangsa.
Kerjasama itu memberi akses kepada penumpang Etihad sambungan perjalanan menerusi hab Batik Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menerusi perkongsian kod itu, penumpang Etihad boleh menikmati gabungan perkhidmatan dan rangkaian kedua-dua penerbangan dengan satu tiket serta memindahkan bagasi dengan lancar ke destinasi terakhir.
Lima destinasi domestik yang telibat dalam perkogsian kod ini ialah Johor Bahru, Langkawi, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Tawau; manakala tiga destinasi antarabangsa ialah Da Nang dan Hanoi di Vietnam serta Perth, Australia.
Etihad mempunyai dua penerbangan sehari dari Abu Dhabi ke Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Hasil dan Komersial Etihad, Arik De berkata, kerjasama ini bakal meningkatkan rangkaian perkongsian kod Etihad, menawarkan pengembara akses lancar ke lima destinasi utama Malaysia.
“Kami juga akan menyambut pelanggan dari Asia yang mengunjungi 'rumah' kami di Abu Dhabi dan penumpang yang menyambung ke rangkaian global Etihad yang semakin berkembang di Timur Tengah, Afrika dan Eropah melalui hab Abu Dhabi kami," katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Malaysia, Datuk Chandran Rama Muthy menambah perkongsian itu akan mengalu-alukan pengunjung dari seluruh dunia untuk menerokai pelbagai tarikan Malaysia.
“Kami berhasrat untuk menjadikan KLIA sebagai hab transit, mempertingkatkan lagi ketersambungan Etihad dan memastikan pengalaman perjalanan lancar,” jelasnya.
Sementara itu, penumpang Etihad boleh transit dengan mudah melalui KLIA untuk ke pelbagai destinasi di Malaysia, Asia Tenggara dan Australia.
"Perkongsian ini akan memperluaskan pilihan penerbangan untuk pelanggan Malaysia, menawarkan pilihan destinasi antarabangsa baharu di luar Abu Dhabi,” kata beliau.
Perkongsian kod baharu itu beroperasi mulai 16 Julai 2024.- DagangNews.com