ExecuJet rasmi pembukaan kemudahan MRO terbesar di Lapangan Terbang Subang | DagangNews Skip to main content

ExecuJet rasmi pembukaan kemudahan MRO terbesar di Lapangan Terbang Subang

Presiden ExecuJet MRO Services Malaysia Graeme Duckworth (dua dari kanan) bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (dua dari kiri) semasa majlis perasmian kemudahan MRO di Lapangan Terbang Subang pada 2 Mei 2024.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mei - ExecuJet MRO Services Malaysia, anak syarikat pembuat pesawat perniagaan mewah Dassault Aviation, merasmikan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) baharunya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah atau Lapangan Terbang Subang, hari ini.

 

ExecuJet dalam satu kenyataan berkata, hangar seluas 149,500 kaki persegi itu kini menjadi pusat MRO penerbangan perniagaan terbesar di Malaysia dan ia adalah dua kali ganda lebih besar berbanding kemudahannya sebelum ini.

 

Presiden ExecuJet, Graeme Duckworth berkata, pembukaan kemudahan itu adalah penting untuk operasi serantau syarikat itu.

 

"Kami meluaskan sokongan kepada pengendali pesawat pelbagawai jenama di seluruh rantau ini. Kemudahan kami di Subang adalah kunci utama kepada strategi itu," katanya.

 

execujet
Naib Presiden Wilayah Asia ExecuJet MRO Services, Ivan Lim (tengah) menunjukkan kawasan sekitar kemudahan MRO kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke semasa majlis perasmiannya di Lapangan Terbang Subang pada 2 Mei 2024. 

 

Pengembangan itu adalah sebahagian daripada strategi ExecuJet dalam menangani permintaan yang semakin meningkat di rantau ini.

 

ExecuJet memulakan operasi di Afrika Selatan pada 1991 dan kemudiannya berkembang secara global dengan kemudahan tambahan di Australia, New Zealand, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Belgium, dan francais di China.

 

Kemudahan Subang menyasarkan untuk melatih kakitangannya bagi mendapat pensijilan antarabangsa, supaya ia diluluskan untuk melaksanakan penyelenggaraan berat pada pesawat yang berdaftar dengan pihak berkuasa penerbangan awam serantau bersama-sama dengan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan dan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah, sama ada pada Falcons , pesawat Bombardier dan Gulfstream.

 

execujet

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pengembangan ExecuJet akan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai lokasi ideal untuk syarikat aeroangkasa yang menyasarkan perkembangan di antau ini.

 

"Kami teruja untuk menyaksikan pengaruh positif kemudahan ini terhadap ekosistem aeroangkasa dan kami komited untuk menyokong ExecuJet dalam perjalanan pengembangan mereka," katanya.

 

Malaysia Airports Holdings Bhd berkata, kemudahan terbaharu ExecuJet adalah antara beberapa projek pembangunan di bawah Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP) dan mewakili langkah penting ke hadapan dalam memajukan sektor peniagaan penerbangan itu.- DagangNews.com